Rabu, 13 Disember 2017

Trio penjaga gol sah ke AFF

ARKIB : 25/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Tiga penjaga gol, Helmi Eliza Elias, Syed Adney Syed Hussein dan Badrulzaman Halim boleh menarik nafas lega apabila tempat mereka dalam skuad bola sepak negara ke Piala Suzuki AFF dari 5 hingga 28 Disember ini sudah disahkan.

Ia ekoran kehendak jurulatih negara, B. Sathianathan yang mahu terus menggunakan khidmat mereka tanpa menggugurkan sesiapa pun dalam skuad 22 pemain ke kejohanan yang menemukan Malaysia dengan tuan rumah Thailand serta Vietnam dan Laos di dalam Kumpulan B di Bangkok.

Ketetapan itu bererti hanya 19 slot di luar posisi tersebut yang masih perlu direbut di kalangan 23 pemain sekarang khususnya pada perlawanan persahabatan terakhir dengan menentang juara bertahan AFF, Singapura, di Stadium Petaling Jaya, 6 petang Sabtu ini.

"Dua puluh enam orang itu termasuk yang dipanggil semula - Fauzie Nan dan Juzaili Samion. Saya cuba dapatkan Shafizan Hashim mulanya tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia melangsungkan perkahwinan, Sabtu ini," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Melainkan ditimpa kecederaan atau sebarang masalah lain, Sathianathan dijangka mengekalkan sebahagian besar pemain skuad negara yang bergelar naib juara Pestabola Merdeka Ke-40, bulan lalu dan Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Yangon, baru-baru ini.

Menurutnya, skuad negara yang juga mendapat suntikan semangat dan kesegaran imej dengan sumbangan jersi baru oleh penaja peralatan pasukan pada Sabtu lalu, bakal tampil dengan barisan pemain terbaik apabila menentang Singapura.

"Saya juga akan mencuba beberapa lagi pemain dengan menentang Singapura kerana sesuatu persahabatan antarabangsa membenarkan pertukaran dilakukan sehingga enam orang," kata Sathianathan yang nasibnya bersama pasukan, turut akan diukur pada Piala Suzuki AFF.

Singapura yang diterajui Radojko Avramovic dari Serbia selain memiliki lapan pemain kelahiran asing antaranya Precious Emuejeraye, Daniel Bennett, Shi Jiayi, Aleksandar Duric dan Agu Casmir, menganggotai Kumpulan A di Jakarta dengan tuan rumah Indonesia, Myanmar dan Kemboja.

Kali terakhir Malaysia dan Singapura bertembung ialah ketika separuh akhir kedua Kejohanan AFF (kini Piala Suzuki AFF) yang menyaksikan kita kalah penalti 5-4 setelah terikat 1-1 dan secara agregat 2-2 (timbal balik) di Stadium Nasional republik itu pada 27 Januari 2007
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz518rQOGYi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan