Rabu, 20 Disember 2017

Jangan pedulikan ranking lagi

ARKIB : 14/02/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kalangan jurulatih dan bekas pemain negara menggesa skuad kebangsaan dan khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar tidak terlalu memikirkan ranking dunia yang jatuh tiga anak tangga semalam.

Jurulatih PKNS yang pernah melatih skuad kebangsaan pada 1999 hingga 2000, Abdul Rahman Ibrahim, menyarankan rombakan skuad negara merupakan antara perkara pokok yang perlu dibuat kerana pada pandangannya, cuma terdapat enam atau tujuh pemain sekarang yang boleh dipertaruhkan lagi.

"Lupakan segala kegagalan lalu termasuk ketika menentang UAE dalam Kelayakan Piala Asia 2011. Inilah masanya membentuk sebuah pasukan baru kebangsaan yang menggabungkan enam atau tujuh pemain dengan beberapa pemain Harimau Muda atau skuad bawah 23 tahun.

"Jangan pedulikan ranking lagi sebaliknya fokuskan hala tuju bola sepak dan pasukan negara," katanya yang pernah memulihkan negara untuk mencatat kejayaan tempat ketiga Piala Tiger di Songkhla pada 2000 selepas dibelasah teruk Indonesia 6-0 dalam Sukan SEA Brunei 1999.

Menurut Abdul Rahman, ranking bagaimanapun perlu diperbaiki selepas itu dengan mengundang lawan ranking lebih tinggi seperti Thailand dan Singapura sekurang-kurangnya bermain dalam perlawanan persahabatan.

Jurulatih skuad Universiti Malaysia dan bekas jurulatih penjaga gol Kedah, Azman Eusoff, turut menekankan kepentingan memulihkan kualiti dan persembahan Liga M daripada bertumpu kepada memperbaiki ranking dengan mengembalikan pemain import supaya pemain tempatan kembali bersaing lebih baik sekali gus memantapkan skuad negara.

"Jika ranking masih diutamakan khususnya bagi jangka pendek, saya cadangkan kita serapkan semula pemain asing yang benar-benar berkualiti ke dalam pasukan kita.

"Ramai yang tidak bersetuju tetapi mungkin daripada beberapa keputusan perlawanan yang positif, lama kelamaan mereka akan menerimanya," katanya.

B. Sathianathan yang menerajui Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2007 tetapi dipecat baru-baru ini berkata, sekurang-kurangnya 13 hingga 14 perlawanan antarabangsa diperlukan skuad kebangsaan setiap tahun sekiranya ranking FIFA itu mahu diperbaiki.

"Ia termasuk Pestabola Merdeka atau sebarang kejohanan anjuran AFC (Gabungan Bola Sepak Asia) atau FIFA tetapi mesti mengambil kira jadual liga negara yang kita undang bermain itu dan khususnya ranking mereka yang mestilah lebih tinggi dan mampu meningkatkan kualiti dan prestasi pemain kita.

"Namun jangan lupa tidak semua negara berkenaan yang diundang itu sudi bermain dengan kita kerana mereka turut memikirkan soal naik turun ranking.

"Hong Kong yang hampir setanding kita pun pernah membatalkan pada saat akhir ketika diajak bermain persahabatan," katanya.

Jurulatih Felda United yang juga bekas pemain tengah negara era 70-an, Reduan Abdullah turut menyarankan supaya daya saing Liga M ditingkatkan selain pencarian bakat baru untuk membentuk skuad negara setiap peringkat umur perlu dipergiatkan daripada sekadar memikirkan jatuh bangun ranking skuad kebangsaan.

"Namun jangan dibekukan terus sekiranya ada permintaan negara luar yang mengundang kita bermain perlawanan persahabatan kerana ini juga masih satu medan pendedahan antarabangsa dan kayu pengukur buat skuad negara.

"Selain itu cubalah guna muka baru dalam pasukan mulai sekarang dengan matlamat ke Sukan SEA Laos, Disember ini," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51oSc4J00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan