ARKIB : 16/01/2009
Pemain bola sepak negara giat
menjalani latihan kecergasan di ISN menjelang pertemuan Kelayakan Piala Asia
2011 dengan UAE di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Rabu ini.
- Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN
KUALA LUMPUR - Walaupun hanya
mempunyai lima hari untuk meningkatkan kecergasan pemain menjelang perlawanan
Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), jurulatih
negara, B. Sathianathan optimis skuad negara mampu melakukan kejutan terhadap
pasukan Asia Barat itu.
Malah, kedudukan ke-114 UAE di
persada dunia sedikitpun tidak membimbangkan Sathia yang sebelum ini nyaris
diketepikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hasil prestasi hambar pasukan
negara pada kejohanan Piala AFF Suzuki, Disember lepas.
"Berdasarkan ranking
dunia, diakui UAE lebih hebat berbanding kita. Namun tidak mustahil Malaysia
akan mencipta kemenangan bergaya, lebih-lebih lagi kita beraksi di gelanggang
sendiri," ujarnya kepada Utusan Malaysia di Institut Sukan Negara (ISN)
Bukit Jalil di sini semalam.
Pun begitu, Sathia mengakui
tugasnya dalam masa lima hari ini agak mencabar terutama dua daripada 28 pemain
utama negara iaitu Rosdi Talib dan Syed Adney Syed Hussein mengalami
kecederaan.
Malaysia akan bertemu dengan
UAE pada perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Bola Sepak
Kuala Lumpur, Rabu ini.
Kini 28 jentera Harimau Malaya
sudah mula menjalani latihan intensif di ISN sejak semalam selain mengikuti
latihan kecergasan yang bertujuan mengenal pasti kemampuan prestasi mereka.
"Selain ujian kecergasan,
para pemain juga akan diberikan pendedahan kepada latihan taktikal.
"Kita memilih 28 pemain ke
latihan pusat berdasarkan kehebatan semasa mereka bersama pasukan
masing-masing.
"Semasa sesi latihan
inilah kita akan mengenal pasti mereka yang layak dan akan disenarai pendek
dalam membentuk kesebelasan utama," ujarnya.
Malaysia diundi dengan UAE dan
Uzbekistan dalam persaingan Kumpulan C Piala Asia 2011. Pasukan keempat, India,
sudahpun layak ke pusingan akhir selepas menjadi juara Piala Cabaran Gabungan
Bola Sepak Asia (AFC) 2008.
Uzbekistan pernah menumpaskan
Malaysia 5-0 dalam pusingan akhir Piala Asia di Kuala Lumpur pada Julai 2007,
manakala pertemuan terakhir negara dengan UAE pula menyaksikan pasukan Asia
Barat itu memenangi perlawanan persahabatan 3-1 di Petaling Jaya, Selangor.
Malaysia layak secara automatik
ke Piala Asia pada tahun 2007 selaku tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan
Indonesia manakala kemaraan ke pusingan akhir menerusi merit hanya mampu
dicapai pada 1976 di Iran dan Kuwait pada 1980.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51TdYcMu3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan