Rabu, 13 Disember 2017

Malaysia benam Laos

ARKIB : 07/12/2008
 
PARA pemain negara membuat benteng menahan sepakan percuma pemain Laos pada perlawanan pertama Piala AFF Suzuki di Phuket, Thailand, semalam. Malaysia menang 3-0. – Gambar WWW.AFFSUZKICUP.COM

PHUKET – Malaysia memulakan kempen Piala AFF Suzuki dengan langkah kanan apabila membenam pasukan paling lemah dalam Kumpulan B, Laos 3-0 pada perlawanan sulung di Stadium Surakul dekat sini, semalam.

Bagaimanapun skuad negara terpaksa menunggu lebih sejam sebelum berjaya membuka jaringan menerusi pemain gantian, Safee Sali pada minit ke-67.

Safee turut menyumbang gol ketiga negara pada minit ke-86 manakala satu lagi gol adalah menerusi sepakan percuma cantik Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-72.

Namun penghargaan harus diberikan kepada Indra Putra kerana ketiga-tiga gol skuad negara adalah menerusi gerakan yang diilhamkannya.

Malah sebelum jaringan pembukaan itu, jurulatih negara, B. Sathianathan kelihatan cukup resah kebuntuan jaringan walaupun anak-anak buahnya menguasai permainan.

Menurut beliau, apa yang meresahkannya adalah persembahan yang tidak konsisten dipamerkan pemain negara malah dikejutkan dengan pertahanan mantap dan serangan balas yang mampu dilakukan pasukan lawan.

“Seperti yang saya cakap sebelum perlawanan, tidak mudah berdepan Laos kerana mereka bukan pasukan lemah.

“Mereka banyak memberi masalah manakala pemain saya bermain di bawah tahap sebenar dan tiada kesungguhan,” kata Sathianathan selepas perlawanan.

Turut menyaksikan perlawanan semalam adalah Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin.

Kata Khairy, beliau telah memaklumkan kepada pemain selepas perlawanan bahawa mereka perlu mempamerkan prestasi seperti di babak kedua apabila menentang Vietnam, esok dan Thailand pada 10 Disember nanti.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah mengulangi persembahan di babak kedua. Kita perlu mendesak,’ katanya.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Thailand menewaskan Vietnam 2-0. Ini sekaligus membolehkan Malaysia menduduki tempat teratas Kumpulan B.

Saingan Kumpulan A yang berlangsung di Jakarta pula menyaksikan tuan rumah, Indonesia menewaskan Myanmar 3-0 manakala Singapura membelasah Kemboja 5-0.

– Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51CoH2WlH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan