Rabu, 6 Disember 2017

FAM sepatutnya merasa malu

BAKRI IBNI
BAKRI IBNI
07 Disember 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 6 Dis. – Legenda bola sepak negara, Bakri Ibni percaya, keputusan Nelo Vingada meletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya turut didorong oleh kekurangan pemain berkualiti yang dimiliki Malaysia ketika ini dan dia sedar pasukan kebangsaan tidak boleh melangkah jauh.

Bakri yang pernah membawa Malaysia beraksi dalam Sukan Olimpik Moscow 1980 juga percaya, pengunduran Vingada adalah demi menjaga maruahnya yang selama ini terkenal sebagai jurulatih disegani, sedangkan bersama skuad Harimau Malaya dia masih belum mencatat sebarang kemenangan selepas tujuh perlawanan.


“Terdapat dua perkara yang saya boleh simpulkan daripada peletakan jawatan Vingada. Pertama, Vingada telah membuat keputusan yang tepat dan kedua pengunduran tersebut menunjukkan pemain kita tidak bagus kerana jika bagus sudah pasti dia tidak akan berhenti.

“Saya percaya Vingada tidak mahu merosakkan namanya untuk masa depan kerana dalam dunia bola sepak profesional, sudah menjadi adat orang yang ada maruah akan meletakan jawatan dan orang yang tiada maruah sahaja yang tidak akan melakukannya sebab satu perlawanan pun dia tidak pernah menang.

“Bagaimanapun, saya tidak salahkan Vingada 100 peratus kerana saya percaya dia letak jawatan sebab dia tidak mahu malu. Dia tidak boleh buat apa kerana ini sahaja yang ada (pemain).

“Secara peribadi saya melihat corak permainan kita sudah berubah tetapi Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara ASEAN lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Vingada, 64, yang dilantik untuk membimbing Harimau Malaya menggantikan Datuk Ong Kim Swee pada 15 Mei lalu membuat keputusan mengejut apabila meletakan jawatan hari ini bersama dua pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa.

Bagaimanapun dua pembantu jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe dan Azmin Azram Abdul Aziz kekal dengan jawatan penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol.

Dalam pada itu, Bakri turut menyifatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya malu dengan pengunduran tersebut kerana masih gagal menaikkan mutu bola sepak kebangsaan.

“Sebagai orang yang ada ilmu, FAM patut malu tetapi FAM tiada masalah sebab esok masih ada. Adanya esok adalah bola sepak dan dengan adanya bola sepak, maka ada peluang untuk mencari makan.

“Saya bukan nak mencari salah TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM) sebab jika beliau sudah lapan tahun bersama FAM, barulah beliau patut dipersalahkan,” katanya.
SUMBEArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/fam-sepatutnya-merasa-malu-1.568127#ixzz50WdD2Dm4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan