Selasa, 5 Disember 2017

Skuad negara cari inspirasi di Slovakia

ARKIB : 15/09/2008
KUALA LUMPUR - Jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan yakin lima perlawanan ujian yang akan diadakan di Slovakia bakal memberi kesan positif dalam membentuk skuad bola sepak kebangsaan yang mantap bagi menghadapi dua kejohanan tidak lama lagi.

Menurut Sathia, dia memilih Slovakia kerana mutu pasukan liga bola sepak negara itu yang baik serta mengambil kira keadaan bulan Ramadan yang mana sukar untuk mencari lawan yang baik ketika ini.

Katanya, persediaan di Slovakia penting bagi memastikan skuad negara bersedia untuk mempertahankan kejuaraan Pesta Bola Merdeka yang dimenangi tahun lalu juga kejohanan Piala Suzuki AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) Disember ini.

''Di Slovakia, kami akan mengadakan lima perlawanan ujian dengan kelab-kelab di negara itu. Kami akan beraksi dalam lima perlawanan persahabatan iaitu dua perlawanan dengan kelab liga super dan tiga lagi dengan kelab divisyen satu. Berdasarkan kunjungan kami sebelum kejohanan Pesta Bola Merdeka tahun lalu, persediaan di Slovakia berjaya memberi impak besar kepada pemain sehingga kami memenangi Pesta Bola Merdeka tahun lalu.

''Satu lagi faktor saya memilih Slovakia ialah disebabkan keadaan cuacanya yang sesuai untuk para pemain menjalani latihan pada bila-bila masa,'' katanya.

Menurut Sathia, daripada 30 pelatih yang terpilih menjalani latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, sejak hampir dua minggu lalu hanya 25 yang menyertai kunjungan ke Slovakia.

''Ada pelatih yang tidak dapat menyertai skuad negara ke sana (Slovakia) kerana pasukan negara masing-masing terlibat dalam kejohanan Piala AFC iaitu Kedah dan Perak.

''Mereka ini kita beri kelonggaran namun akan kembali menyertai kem latihan selepas Hari Raya,'' katanya.

Tambah Sathia, latihan di Slovakia penting kerana ketika ini agak sukar untuk mencari lawan yang sesuai kerana bulan puasa.

''Memandangkan sebahagian besar pemain terdiri daripada mereka yang berpuasa, saya kenalah bertolak ansur dan menghormati mereka yang berpuasa.

''Dalam hal ini saya memuji pemain terbabit yang tetap bersemangat menjalani latihan walaupun dalam bulan puasa. Para pemain menjalani latihan pada sebelah malam iaitu selepas berbuka puasa hingga lewat malam sewaktu di Wisma FAM,'' katanya

Skuad negara bimbingan Sathia muncul juara Pesta Bola Merdeka tahun lalu apabila menewaskan Myanmar 3-0 di perlawanan akhir.

Pada kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama naib juara 2007, Thailand dan Vietnam pada perlawanan di Bangkok.

Satu lagi lawan skuad negara ialah juara pusingan kelayakan di Kemboja pada Oktober ini yang akan melibatkan tuan rumah, Laos, Brunei, Filipina dan Timor Leste.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah naib juara pada edisi 1996 di Singapura di bawah bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.

Juara bertahan, Singapura beraksi dalam Kumpulan A di Jakarta dengan tuan rumah Indonesia, Myanmar dan naib juara pusingan kelayakan tersebut
SUMBER
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50OUDsl9v

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan