ARKIB : 13/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak
negara membuka kempen Kumpulan B Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Myanmar
dengan membalas dendam terhadap skuad bawah 22 tahun Vietnam yang menghampakan
mereka ketika Pestabola Merdeka, apabila menang 3-0, semalam.
Perlawanan di Pusat Latihan
Belia Thuwunna, Yangon itu menyaksikan gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Indra
Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal dan Hardi Jaafar pada minit ke-26, 40 dan
55.
Indra merembat voli umpanan
lintang Amirulhadi dari sebelah kanan untuk membuka gol skuad negara yang masih
terasa kekalahan 6-5 menerusi penentuan penalti perlawanan akhir Pestabola
Merdeka Ke-40 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bulan lalu.
Giliran Amirulhadi membolosi
gawang lawan tiba setelah sayap kanan Selangor itu menyambar dan menolak masuk
bola yang muntah daripada tangkapan penjaga gol akibat rembatan kencang
penyerang utama, Safee Sali.
Babak kedua permainan yang baru
berusia 10 minit pula menyaksikan pemain tengah, Hardi mudah menjaringkan gol
terakhir Malaysia ketika cuma berdepan penjaga gol Vietnam gara-gara kesilapan
perangkap ofsaid benteng lawan.
Jurulatih negara, B.
Sathianathan yang dihubungi dari Yangon, berkata kepada Utusan Malaysia:
"Kami menentang lawan yang membariskan hampir kesemua pemain yang sama
yang menjuarai Pestabola Merdeka lalu.
Ketinggalan
"Malangnya, setelah
ketinggalan tiga gol, Vietnam mula mempamerkan corak permainan yang kasar
sehingga mengakibatkan dua pemain pertahanan kita, Irwan Fadzli Idrus dan Aidil
Zafuan Radzak serta Hardi tercedera," katanya.
Skuad negara yang akan
menentang kelab Korea Selatan, Hyundai Ulsan Tigers untuk melengkapkan jadual
Kumpulan B, esok, turut menjadikan kejohanan ini sebagai persediaan ke misi
kemuncak - Piala Suzuki AFF, bulan depan.
Malaysia cuma perlu seri dengan
kelab tersebut untuk mara ke separuh akhir sekali gus menghidupkan peluang
memburu ganjaran AS$15,000 (RM53,984) selaku juara atau AS$7,500 (RM26,992)
bagi naib juara.
Kelmarin, skuad kebangsaan tuan
rumah seri tanpa jaringan dengan Bangladesh dalam perlawanan Kumpulan A
manakala satu lagi pasukan ialah skuad kebangsaan Indonesia.
Kelab Hyundai Ulsan Tigers bergelar
naib juara liga Korea Selatan tahun ini dan dilatih oleh bekas pemain
kebangsaan antara 1962 hingga 1971, Kim Jung-nam selain memiliki tiga pemain
import dari Brazil.
Dua tahun lalu dalam kejohanan
yang sama, skuad Olimpik negara yang juga diterajui Sathianathan, cuma
menduduki tempat ketiga di belakang skuad kebangsaan Myanmar, Bawah 23 Tahun
tuan rumah dan mengatasi Indonesia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz515u4PxoJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan