Ahad, 10 Disember 2017

Sathia tidak perleceh lawan - Menjelang Pestabola Merdeka Ke-40

ARKIB : 09/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, B. Sathianathan tidak akan sesekali memperlecehkan kemampuan sebarang pasukan terutama yang berada di ranking dunia lebih rendah daripada Malaysia apabila beraksi dalam Pestabola Merdeka Ke-40 dari 15 hingga 25 Oktober ini.

Katanya, Afghanistan misalnya yang kini menghuni ranking ke-182 masih merupakan lawan yang berkualiti memandangkan mereka memiliki tujuh pemain yang bermain dengan kelab Jerman antaranya Eintracht Frankfurt, Oberneuland, Norderstedt dan Hessen Kassel.

“Pestabola ialah persediaan awal kita menghadapi lawan yang lebih tinggi rankingnya dan ada yang lebih rendah dalam Piala Suzuki AFF (Disember ini). Jadi kita tidak boleh memandang rendah kemampuan sebarang lawan dalam satu-satu kejohanan walaupun Afghanistan,” katanya.

Namun, Piala Suzuki AFF dari 5 hingga 28 Disember ini bagi Kumpulan B di Thailand merupakan misi kemuncak Sathianathan dan skuad negara yang akan menentang tuan rumah juga naib juara 2007, Vietnam dan juara pusingan kelayakan di Kemboja, bulan ini.

Malaysia merupakan juara bertahan dan bakal dicabar Sierra Leone, Nepal dan Afghanistan dalam Kumpulan A manakala Myanmar, Vietnam, Bangladesh dan Mozambique yang diundang di saat akhir bagi menggantikan Kazakhstan, berada dalam Kumpulan B.

Kazakhstan dikatakan terpaksa menarik diri kerana menghadapi kelayakan Piala Dunia 2010 Eropah manakala Pakistan yang mulanya diletak sebagai pasukan simpanan, hanya akan menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pukul 6.30 petang esok.

Perlawanan ini bakal menjadi medan pemilihan 22 pemain terbaik bagi Pestabola daripada 30 pemain yang dipanggil menjalani latihan sejak bulan puasa lalu oleh Sathianathan yang turut dibantu oleh Zaki Sheikh Ahmad, Ismail Ibrahim dan Mazlan Wahed serta jurulatih kecergasan, Rastislav Bozik.

Selain menentang empat kelab Slovakia bulan lalu, skuad negara cuma bermain perlawanan persahabatan pada 6 Jun, 22 dan 29 Julai lalu yang berkesudahan seri 1-1 dengan India dan Indonesia di Hyderabad dan Surabaya serta dikalahkan Chelsea 2-0 di Shah Alam.
sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz50s7zJVf6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan