ARKIB : 26/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD DAN FERZALFIE FAUZI
Pemain-pemain Vietnam meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka manakala pemain Malaysia sugul selepas tewas 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi
KUALA LUMPUR Malaysia gugur pada halangan terakhir dalam usaha mempertahankan kejuaraan bola sepak Pestabola Merdeka apabila dikejutkan oleh skuad belia Vietnam 6-5 menerusi sepakan penentuan penalti setelah terikat tanpa jaringan termasuk dalam masa tambahan.
Kekalahan yang mencalarkan maruah ini turut mencetuskan keraguan sama ada skuad negara bimbingan B. Sathianathan mampu menggalas cabaran pada Kumpulan B Piala Suzuki AFF di Thailand, Disember ini yang turut disertai skuad senior negara Indochina itu.
Di depan hampir 50,000 penonton perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil termasuk hampir 1,000 warganegara asing itu, skuad pelawat bimbingan Mai Duc Chung membawa pulang trofi kejohanan edisi ke-40 itu selain ganjaran RM35,000 selaku juara.
Tuan rumah yang menguasai daripada 90 minit masa sebenar sehingga 120 minit kesemuanya, terpaksa menyerah dengan sepakan penalti bek tengahnya, Norhafiz Zamani Misbah yang ditepis penjaga gol lawan, Bui Tan Truong.
Mai Tien Thanh pula memastikan kejuaraan milik Vietnam dengan menyudahkan sepakan keenam yang mencairkan kekebalan penjaga gol Malaysia, Helmi Eliza Elias setelah mengharungi tiga perlawanan tanpa bolos menentang Nepal, Sierra Leone dan Myanmar.
Kali terakhir Vietnam yang ketika itu bergelar Vietnam Selatan menjuarai Pestabola ialah pada 1966 dengan menewaskan Burma 1-0.
Minit ketiga menyaksikan sepakan sudut Hardi Jaafar dari sebelah kanan, berjaya dikuis keluar penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong untuk melegakan seketika kubu skuad Bawah 22 Tahun negara Indochina itu.
Enam minit kemudian, Harimau Malaya terus mengganas menerusi rembatan kencang bek tengah Aidil Zafuan Radzak yang cuba naik membantu sejauh 30 meter yang tersasar beberapa inci dari tiang gol Vietnam.
Gawang Vietnam tidak mampu menahan gelora asakan anak didik B. Sathianathan sehingga dibocori dengan tolakan kaki kanan Indra Putra Mahayuddin namun gol pada minit ketujuh itu tidak dikira kerana ofsaid.
Skuad negara kembali menguji Tan Truong pada minit ke-27 dan 29 menerusi tandukan ketua pasukan, Shukor Adan dan penjaring utamanya, Safee Sali secara berturut-turut namun tidak juga mampu menewaskannya.
Nasib Malaysia masih tidak berbeza ketika Safee yang sempat mencuri bola, melakukan larian solo dengan rembatan leretnya untuk menggerunkan seketika Vietnam pada minit ke-32, sekadar tersasar sedikit daripada sasaran.
Setelah sekian lama penjaga gol, Helmi Eliza Elias bersantai, ujian sulung Vietnam muncul menyapanya pada minit ke-49 menerusi rembatan deras Hoang Dinh Tung tetapi terlalu tinggi dari gawang Malaysia.
Giliran Irwan Fadzli Idrus pula mencuba nasib terhadap Vietnam pada minit ke-65 dengan rembatan kencang jarak jauhnya dan Tan Truong seperti tidak kenal penat dan jemu, terus menafikan setiap serangan tuan rumah.
Kekangan kemas benteng Vietnam turut menarik perhatian tetapi sedikit pertengkaran di luar padang dengan pengadil, Chaiya Alee Mahapab dari Thailand tidak ketinggalan mewarnai aksi di padang pada minit ke-71.
Gara-gara mempertikaikan keputusan pengadil setelah berlaku satu insiden terhadap pemain Vietnam yang tercedera, seorang pegawai pasukan pelawat dikenakan kad merah dan diusir daripada bangku simpanan.
Permainan kekal tanpa jaringan sehingga 90 minit masa sebenar namun Hairuddin Omar yang masuk menggantikan Zaquan Adha Radzak, sempat merembat leret ke sebelah kanan gawang Vietnam dan diselamatkan Tan Truong, seminit kemudian.
Pada minit ke-105, skuad negara beroleh sepakan bebas beberapa meter dari petak penalti Vietnam tetapi percubaan Indra masih tidak mampu memecahkan kebuntuan jaringan apabila mudah disambut oleh Tan Truong.
Gol penting yang dicari-cari Malaysia nyaris dapat ditemui dua minit kemudian daripada rembatan pemain gantian, Khyril Muhymeen Zambri yang hanya terkeluar beberapa inci sekalipun dapat menewaskan penjaga gol lawan.
MALAYSIA: Helmi Eliza Elias, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak (Hairuddin Omar), Safee Sali, Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Daudsu Jamaluddin, Hardi Jaafar (Ashaari Shamsuddin), Irwan Fadzli Idrus, Amirulhadi Zainal (Khyril Muhymeen Zambri).
VIETNAM: Bui Tan Truong, Nguyen Thanh Long Giang, Pham Minh Duc, Nguyen Tang Tuan (Trinh Quang Vinh), Hoang Nhat Nam, Hoang Dinh Tung (Nguyen Duc Thien), Houng Danh Ngoc, Le Van Duyet, Mai Xuan Hop, Nguyen Cong Huy, Phan Thanh Binh (Mai Tien Thanh).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5112eAp42
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan