ARKIB : 16/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
dan FERZALFIE FAUZI
Pemain Malaysia, Shukor Adan
(dua dari kiri) mengelecek tiga pemain Nepal dalam perlawanan Pestabola Merdeka
di Stadium MBPJ Kelana Jaya, malam tadi. Gambar Shaifudin Mohd Nor
PETALING JAYA Corak permainan
berorientasi serangan sambil dibantu kemampuan memanfaatkan padang basah
membuahkan hasil apabila Malaysia membenam Nepal 4-0 pada perlawanan sulung
Pestabola Merdeka ke-40, semalam.
Perlawanan Kumpulan A di
Stadium Petaling Jaya itu yang dikhuatiri tergendala kerana hujan sebelumnya,
membawa rahmat untuk skuad negara bimbingan B. Sathianathan membelasah Nepal.
Turun dengan serangan serampang
tiga menerusi Safee Sali, Zaquan Adha Radzak sambil disokong Hairuddin Omar,
tuan rumah menguasai setiap meter padang dan bola apatah lagi mendapat bantuan
dari sebelah kiri, Indra Putra Mahayuddin dan kanan, Amirulhadi Zainal yang
sentiasa hidup.
Pasukan Nepal yang dibimbing
Krishna Bahadur Thapa seolah-olah terpukau sehingga tidak mampu menjawab
kehebatan Safee yang menjaringkan dua gol pada minit ke-25 dan ke-48 selain
masing-masing satu sumbangan Indra (m-20) dan Khyril (m-52).
Minit pertama menyaksikan
penyerang muda Malaysia, Zaquan Adha Radzak memperoleh peluang sulung untuk
merobek gawang Nepal, namun rembatan kaki kanannya tersasar jauh ketika cuma
perlu menewaskan penjaga gol, Ritesh Thapa.
Dari sebelah kiri, Indra Putra
Mahayuddin turut terlepas kesempatan untuk menyudahkan satu tandukan umpanan
Hairuddin Omar pada minit kesembilan apabila dia didapati ofsaid oleh penolong
pengadil.
Permainan agak hambar akibat
padang licin dan ditakungi air akibat hujan beberapa jam sebelumnya sekali gus
menyebabkan bola cuma kerap berlegar di kawasan tengah tanpa gerakan berbahaya
terutama oleh pasukan pelawat.
Indra hampir menceriakan
Malaysia pada minit ke-17 dengan rembatan lencong rendahnya yang sempat
mengenai kepala Sagar Thapa dan menggamamkan Ritesh untuk cuma memberikan
sepakan sudut kepada tuan rumah.
Namun, tiga minit kemudian,
bekas sayap kiri Selangor yang belum memilih haluan barunya dalam Liga Malaysia
itu melepaskan rembatan padu daripada sungkitan Amirulhadi Zainal dari sebelah
kanan untuk gol sulung skuad negara.
Penyerang utama, Safee Sali
pula semakin menambah derita Nepal dengan gol kedua pada minit ke-25 setelah
sepakan akrobatiknya, memerangkap Ritesh yang hanya mampu memerhatikan bola
menjunam ke gawangnya.
Gerakan secara solo Amirulhadi,
lima minit kemudian turut hampir menambah gol dan hanya kepintaran Ritesh yang
juga ketua pasukan, membaca tolakan bola itu sempat menyelamatkan Nepal
daripada dibolosi lagi.
Dalam kelalaian Shukor Adan
mengawal bahagian tengah, Nepal sempat meluluskan diri ke kubu Malaysia pada
minit ke-40 tetapi mujur Aidil Zafuan Radzak sempat menghadang rembatan Bijaya
Gurung daripada membolos gawang kawalan Helmi Eliza Elias.
Ketika dua minit babak kedua
bersambung, skuad negara melepaskan dua lagi peluang keemasan, masing-masing
akibat kegagalan Hairuddin Omar menanduk umpanan lambung dan Amirulhadi yang
lewat menyambut gerakan satu dua dengan Zaquan.
Tidak cukup dengan gol ketiga,
jentera serangan Malaysia terus melancarkan serangan menerusi Safee menerusi
tandukan bebas pada minit ke-48, Khyril Muhymeen Zambri pula mendera Nepal
dengan satu lagi gol selepas memperdayakan dua pemain lawan sebelum merembat
kencang lima minit kemudian.
Namun, Ritesh tidak rela
tertewas buat kali kelima apabila menumbuk keluar rembatan kencang kaki kiri
Safee dalam kotak penalti, kira-kira 20 minit sebelum permainan berakhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50wPErehs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan