ARKIB : 20/01/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Perlawanan
kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) esok bakal
menjadi medan untuk menebus kekecewaan pada Kejohanan Piala Suzuki AFF bulan
lalu, demikian kata penyerang bola sepak kebangsaan, Safee Sali.
Selain itu, kata pemain skuad
Liga Super Selangor itu, perlawanan itu merupakan kesempatan terbaik untuk mahu
membuktikan kegagalan di Phuket, apabila pasukan negara gagal melepasi saingan
peringkat kumpulan, bukanlah disebabkan kelemahan para pemain atau strategi
jurulatih.
Ini kerana katanya, Malaysia
kalah kepada Vietnam, yang akhirnya muncul juara kejohanan, disebabkan nasib
tidak menyebelahi skuad kebangsaan.
''Perlawanan dengan UAE
diharapkan dapat menjelmakan permulaan yang baik untuk tahun 2009, malahan saya
melihat ia saat terbaik untuk menafikan kritikan bahawa kegagalan di Phuket
sebulan lalu disebabkan kelemahan mutlak para pemain.
''Jika tidak kerana kesilapan
yang berlaku ketika bertemu Vietnam, kami mampu pergi jauh di kejohanan
tersebut.
''Saya dan rakan sepasukan
bertekad untuk membuktikan skuad yang ada sekarang mempunyai kelebihan dan
mampu menghasilkan keputusan positif dalam perlawanan menentang UAE,'' katanya
ketika dihubungi semalam.
Malaysia akan menentang UAE
dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur,
Cheras esok.
Tambah Safee, dia merasakan
pencapaian skuad negara meningkatkan sejak di bawah kendalian B. Sathianathan
dan akan dibuktikan dalam perlawanan antarabangsa pertama untuk Malaysia esok.
Katanya, dia juga menyandarkan
sentuhan jaringan yang semakin menjadi sejak kebelakangan ini sebagai senjata
untuk merobek gawang lawan.
''Namun, ini tidak bermakna
tugas menggempur disandarkan di bahu saya seorang, saya tetap mengharapkan
bantuan rakan-rakan seperti Nizaruddin Yusof, Indra Putra Mahayuddin serta
Zaquan Adha.
''Bagi saya, siapa yang
menjaringkan gol tidak penting, sebaliknya kejayaan berpasukan lebih utama,''
katanya.
Safee mengakui, menentang
pasukan di rangking ke-110 berbanding Malaysia pada kedudukan 158 dalam senarai
pasukan terbaik dunia FIFA, bukan tugas mudah.
Apatah lagi katanya, UAE baru
selesai mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa Piala Negara-Negara
Teluk.
''Ini bermakna para pemain UAE
berada pada tahap kecergasan yang tinggi, namun saya berharap tuah aksi di
tempat sendiri akan mengiringi kami untuk mencari bekalan selesa dalam
perlawanan timbal balas di tempat lawan selepas ini,'' katanya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51W6e1ddl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan