Selasa, 12 Disember 2017

Ranking Malaysia naik ke-151

ARKIB : 16/11/2008
KUALA LUMPUR - Pencapaian pasukan bola sepak Malaysia memperbaharui kedudukan dunia kepada tangga ke-151 ternyata melegakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan memberi sinar baru untuk sukan itu di negara ini.

Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kedudukan Malaysia sebelum pengumuman terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu adalah di tangga ke-172.

Katanya, kedudukan terbaru itu dikeluarkan oleh FIFA sejak tiga hari lalu.

Beliau berkata, kedudukan 172 dunia yang dicapai oleh pasukan bola sepak negara sebelum ini adalah pada September 2007 iaitu ketika dia masih belum menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM.

"Kedudukan skuad bola sepak Malaysia di peringkat dunia telah menunjukkan perkembangan positif.

"Peningkatan tersebut dicapai berdasarkan pencapaian keputusan baik negara dalam beberapa perlawanan persahabatan pada tahun ini dan juga ketika Pestabola Merdeka 2008," katanya di sini semalam.

Diminta mengulas pencapaian Malaysia mara ke separuh akhir bola sepak Piala Cabaran Grand Royal Ketiga, Azzuddin berkata, skuad negara telah menunjukkan prestasi yang membanggakan pada kejohanan tersebut.

Katanya, ia merupakan satu perkembangan positif kepada sukan bola sepak negara dan pemain sentiasa ingin berusaha memperoleh keputusan terbaik.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz517JYyXZn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan