ARKIB : 12/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Pemain Malaysia, Zaquan Adha
Radzak (kiri) dihalang lawan dari Pakistan, Imran Naizi pada perlawanan
persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. Malaysia menang 4-1.
KUALA LUMPUR Jurulatih
negara, B. Sathianathan membuat kejutan dengan menggugurkan benteng senior,
Fauzie Nan daripada skuad bola sepak negara ke Pestabola Merdeka Ke-40 dengan
menyenaraikan dua muka baru, Ashaari Shamsuddin dan Farderin Kadir.
Bek kanan Perlis itu yang
didapati masih mengalami kecederaan ketika menentang Pakistan dalam perlawanan
persahabatan, kelmarin diketepikan bersama tujuh lagi pemain iaitu Nor Farhan
Muhammad, Shafizan Hashim, Chun Keng Hong, Zairo Anuar Zailani, Bunyamin Umar,
Farizal Marlias dan Juzaili Samion.
Sebab itu permainan Fauzie
didapati terjejas dan dikeluarkan lebih awal ketika menentang Pakistan.
Shafizan diketepikan kerana tahap kecergasannya, Keng Hong, Farizal dan
Bunyamin pula masih kurang pengalaman, malah ada pemain yang lebih baik di
posisi mereka.
Zairo pula sudah lama tidak
bermain di arena antarabangsa dan Juzaili masih terganggu dengan kecederaan
lama sementara Farhan perlu banyak meningkat untuk menyaingi Khyril Muhymeen
Zambri dan Amirulhadi Zainal di sayap kanan, katanya kepada Mingguan Malaysia,
semalam.
Fauzie bermain dalam tiga
persahabatan dengan Indonesia, India dan Chelsea dari Jun hingga Julai lalu
manakala Pestabola menjadi pertandingan sulung antarabangsa buat pemain muda
Terengganu, Ashaari dan Farderin dari Kuala Muda Naza.
Ashaari juga merupakan antara
yang memikat di Bukit Jalil, kelmarin dengan kerajinan dan ilhamnya mencipta
ruang dan serangan untuk rakan sementara Farderin diperlukan Sathianathan untuk
menyuntik kepantasan barisan depan skuad negara seperti ketika mengunjungi
Slovakia, bulan lalu.
Kaironnisam Sahabuddin Hussain
yang tampil semula sejak Piala Asia tahun lalu diberikan peranan sebagai pemain
tengah sejak kebelakangan ini berbanding posisi biasanya, bek tengah.
Bagaimanapun, menurut
Sathianathan, tiga daripada lapan yang digugurkan ini masih berpeluang
dipanggil semula bagi persediaan terakhir menghadapi misi kemuncak skuad negara
- Piala Suzuki AFF di Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini.
Skuad negara menghadapi Nepal
pada perlawanan pertamanya dalam Kumpulan A Pestabola di Stadium Petaling Jaya,
Rabu ini selain Sierra Leone dan Afghanistan manakala Mozambique, Myanmar,
Bangladesh dan Vietnam membentuk Kumpulan B di Stadium Shah Alam.
Kelmarin, Malaysia menunjukkan
persembahan yang kurang meyakinkan khususnya dalam babak pertama biarpun
membenam Pakistan 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kata Sathianathan, menentang
Pakistan turut membuktikan betapa kurang bersedia skuad negara dari segi
ketahanan mental apabila mudah terbawa-bawa dengan tanggapan bahawa lawan ialah
sebuah pasukan lemah.
Kita juga dengan mudah
menghadiahkan gol tunggal Pakistan (minit ke-89). Ada pemain yang tidur dan
tidak sepatutnya melepaskan gol semacam itu. Ia tidak boleh diulangi apabila
kita bermain perlawanan sebenar seperti Pestabola mahu pun Piala Suzuki AFF,
ujarnya.
Namun, dalam setiap perlawanan
antarabangsa, kita tidak akan boleh menyudahkan kesemua gerakan dan corak
permainan Pakistan mungkin sebaik Nepal dalam perlawanan pertama kita pada
Pestabola. Yang penting juga ialah kemampuan pemain negara mencipta peluang,
katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50uALYBeU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan