ARKIB : 20/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
NORHAFIZ Zamani Misbah (empat dari kiri) giat menjalani latihan dengan rakan sepasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2011 dengan UAE esok. - MOHD. NAZUDEEN MAHMUD
PETALING JAYA - Norhafiz Zamani Misbah disahkan sebagai ketua pasukan baru skuad negara bagi menghadapi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Asia 2011, esok, menggantikan Shukor Adan.
Jurulatih negara, B. Sathianathan turut merombak bahagian tengah dengan menempatkan Hardi Jaafar dan Indra Putra Mahayuddin di posisi tetap Shukor dalam aksi sulung Kumpulan C di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu.
Selain mereka, skuad negara bakal menyaksikan kepulangan Syamsuri Mustafa sebagai penjaga gol utama selepas hampir dua tahun diketepikan kerana masalah prestasi dan disiplin untuk mengisi tempat Helmi Eliza Elias yang tidak dipilih kali ini.
"Salah satu tujuan saya memanggil Syamsuri semula adalah untuk memperkuatkan semula gawang kita setelah Helmi mengalami kemerosotan prestasi sejak Piala Suzuki AFF dan saya dapati, dia memang berhak kembali di situ.
"Selebihnya saya masih mengkaji kesesuaian siapa yang bakal bermula sebagai bek kanan dan kiri di antara Daudsu Jamaludin, V. Thirumurugan, Shafizan Hashim dan Fauzie Nan," katanya selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Sayap kanan Malaysia masih menjadi milik Amirulhadi Zainal manakala Khyril Muhymeen Zambri bakal mendukung peranan di sebelah kiri untuk mengumpan kepada gandingan serangan Zaquan Adha Radzak dan Safee Sali.
Namun malang menimpa skuad negara apabila bakal turun dengan pilihan penyerang simpanan yang terhad berikutan kecederaan mengejut yang menimpa Nizaruddin Yusof dan Norshahrul Idlan Talaha sekali gus menggugurkan mereka daripada senarai 18 terbaik esok.
"Saya cuma ada 21 pemain sehingga kini kerana masalah buku lali dan urat pelipat lutut kedua-duanya selain Shukor, Nor Farhan Muhammad dan Rosdi Talib yang sudah tercedera sejak dipanggil," katanya.
Mengenai UAE, kata Sathianathan, mereka turut membuat persediaan tambahan dengan mengkaji rakaman video aksi terbaru mereka ketika kejohanan Piala Teluk menentang Arab Saudi, Yemen dan Qatar yang berakhir di Oman, minggu lalu.
"Saya turut mendapat maklumat tambahan daripada seorang sahabat di Dubai serta Hatem Soussi yang melatih sebuah kelab di sana (bekas jurulatih Olimpik 2000 Malaysia)," katanya.
Sementara itu, Norhafiz mengakui rentak pasukan negara bakal berlainan sedikit tanpa Shukor kali ini tetapi menuntut rakan sepasukan memberikan tumpuan dalam memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
"Saya fikir kita wajar memenangi perlawanan ini kerana mempunyai kelebihan tempat sendiri dan sebagai penyala semangat dan keyakinan untuk menghadapi kelayakan seterusnya," katanya.
Menurut bek tengah KL PLUS ini, UAE sepanjang pengalamannya di peringkat antarabangsa, memiliki pemain yang berkemahiran baik, lincah dan bersaiz besar tetapi berharap skuad negara mampu mengurangkan kesilapan. yang tidak sepatutnya," katanya.
Kongsi Konten di :
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51W3nptWY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan