Ahad, 24 Disember 2017

Panel pemilihan turut terkejut

Panel pemilihan turut terkejut
IRFAN BAKTI
IRFAN BAKTI
Rozaidi Zulkifli

25 Disember 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 yang telah berlangsung dengan meriah dan jayanya pada 22 Di­sember lalu bagaimanapun me­nimbulkan persoalan berhubung pemilihan pemenang dalam kalangan ahli panel pemilihan anugerah tersebut.

Walaupun ramai anggota panel yang terdiri daripada jurulatih, ketua pasukan dan pengamal media mempunyai pendapat tersendiri berhubung pemilihan pemenang anugerah ABK 2017, mereka terkejut kerana tiada calon daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memenangi sebarang anugerah sedang­kan pasukan berkenaan merupakan juara Liga Super dan Piala Malaysia.


Hanya penyerang JDT, Mohamad Ghaddar yang memenangi anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super (Import), itu pun dise­babkan faktor lain iaitu berdasarkan jumlah jaringan terbanyak yang direkodkan sepanjang perlawanan Liga Super.

Salah seorang panel, Irfan Bakti Abu Salim yang merupakan jurulatih pasukan Terengganu I berkata, dia menilai calon pemilihan berdasarkan prestasi semasa seseorang pemain itu sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Irfan yang turut tercalon dalam senarai pendek Anugerah Jurulatih Terbaik, mengakui terkejut namanya juga tersenarai, sedangkan terdapat beberapa jurulatih lain yang lebih layak daripadanya.

“Saya menilai calon berdasarkan prestasi semasa pemain tersebut, mungkin pemilihan saya kurang mendapat sambutan majoriti, contohnya saya pilih A dan yang lain lebih ramai pilih B, maka pemain yang saya pilih tidak menang.

“Setiap panel mempunyai pandangan pemilihan masing-ma­sing tetapi jika ada faktor tertentu itu adalah tidak betul.

“Saya sendiri terkejut tercalon dalam senarai pendek tiga jurulatih terbaik dan perkara itu saya tidak jangka kerana ada lagi orang lain lebih layak daripada saya. Apa yang Khairy Jamaluddin persoalkan ada sedikit sebanyak betul dan rasionalnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin me­nganggap seperti ada sesuatu yang tidak kena berhubung keputusan pemilihan pemenang ABK 2017.

Khairy yang tidak memihak kepada mana-mana pasukan meluahkan rasa terkilan apabila anugerah tersebut menafikan sebarang pengiktirafan kepada pasukan tempatan paling berjaya.

Pemenang bagi anugerah yang ABK pilih berdasarkan undian daripada 24 jurulatih, 24 kapten pa­sukan dan 24 media.

Sementara itu, jurulatih Felda United, B. Sathianathan berkata, pemilihan adalah hak individu dan harus dilakukan secara profesional.

“Pemilihan adalah hak individu, untuk saya sendiri saya memilih dengan cara profesional dan tidak mengikut emosi kerana saya akan lihat pemain itu adakah menyerlah atau tidak dalam setiap perlawanan yang diwaki­linya,” katanya.

Wartawan penyiaran Astro Arena, Fadzrie Hazis turut senada dengan pandangan dua jurulatih tersebut, namun dia mengakui terkejut apabila mengetahui tiada pemenang daripada JDT.

“Secara jujurnya saya terkejut apabila tiada pemain JDT menang sedangkan dalam pemilihan saya memilih beberapa pemain JDT berdasarkan prestasi mereka dan kejuaraan yang dicapai tahun ini.

“Sebagai wartawan bola sepak, objektif pemilihan harus jelas iaitu tidak kira pemain itu daripada pa­sukan mana, jika pemain itu pa­ling bagus maka wajar dinobatkan sebagai pemain terbaik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairul Helmi Johari yang merupakan kapten Kedah berpendapat pemilihan dijalankan secara adil kerana semua panel mempunyai latar belakang bola sepak tetapi tidak menolak kemungkinan terdapat aspek negatif.

“Saya sendiri memilih berdasarkan prestasi pemain, penyenaraian dalam kese­belasan utama dan kejuaraan yang telah dicapai oleh calon tersebut sepanjang musim ini,” katanya.



sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/panel-pemilihan-turut-terkejut-1.578880#ixzz52DtVc2rL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan