Isnin, 11 Disember 2017

Malaysia dapat kelebihan moral

ARKIB : 22/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Malaysia mendapat satu lagi kelebihan moral dan keyakinan ekoran ketiadaan penyerang tengah Myanmar, Yan Paing yang dibuang padang ketika menentang Mozambique kelmarin apabila mereka bertembung dalam separuh akhir bola sepak Pestabola Merdeka Ke-40, esok.

Ia juga bererti lawan bakal berdepan kepincangan di bahagian serangan sekali gus mencerahkan peluang gawang kawalan Helmi Eliza Elias kekal tanpa bolos lagi walaupun di mata jurulatih negara, B. Sathianathan, Myanmar masih sebuah pasukan yang berpengalaman dan mampu mencari ramai penggantinya.

Secara berseloroh, dia berkata: "Kalau boleh saya berharap semua pemainnya dibuang padang tetapi saya fikir kami perlu menghormati sebuah pasukan yang dibentuk dengan pemain sama sejak hampir 10 tahun lalu. Merekalah lawan yang lebih mencabar daripada tiga perlawanan lalu (menentang Nepal, Sierra Leone dan Afghanistan)."

Kelmarin, skuad negara yang hanya menurunkan ramai pemain simpanan termasuk Kaironnisam Sahabuddin Hussain yang mengambil alih tugas ketua pasukan daripada Shukor Adan, muncul juara Kumpulan A dengan sembilan mata selepas membelasah Afghanistan 6-0 selain Nepal dan Sierra Leone masing-masing 4-0.

Myanmar yang bermula agak goyah dengan dikejutkan skuad Bawah 22 Tahun Vietnam 3-1, bangkit perlahan-lahan untuk muncul naib juara Kumpulan B dengan mengatasi Bangladesh 1-0 dan membenam Mozambique 3-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Kejayaan di gelanggang sama, membawa anak didik Sathianathan menempah pertemuan dengan Myanmar pada separuh akhir seperti mana Pestabola tahun lalu yang menyaksikan kita bergelar juara setelah menang 3-1 tetapi kalah mengejut di peringkat kumpulan, 1-0.

Jurulatih itu mengakui Paing merupakan tonggak pasukan tetapi dia lebih tertarik dengan kemampuan Soe Myat Min, ketua pasukan lawan yang sering menjadi batu penghalang Malaysia dalam banyak kejohanan antarabangsa lalu malah mereka dibimbing jurulatih Brazil, Marcos Antonio Falopa.

"Kami akan mengambilnya sebagai satu kelebihan tetapi agak malang kerana perlawanan tentu lebih menarik jika dapat menentang barisan terbaik mereka. Saya turut berharap pasukan kita dapat kekal tanpa bolos - ia bagus dan bagus jika ia diteruskannya," katanya.

Mengenai kesebelasan utama negara, esok, katanya: "Kami ada rehat dua hari dan saya lihat daripada aksi dengan Afghanistan, semakin sukar untuk saya membuat keputusan dan pemilihannya. Kami akan memutuskan sehari sebelum perlawanan dan kebanyakannya mahu dan bersedia bermain pada separuh akhir."

Antara pemain simpanan dalam kesebelasan utama kelmarin ialah penjaring - Ashaari Shamsuddin dan Nizaruddin Yusof selain Syed Adney Syed Hussein, S. Subramaniam, Asraruddin Putra Omar, Khyril Muhymeen Zambri, Hardi Jaafar dan Azi Shahril Azmi manakala penjaring terbanyak negara, Safee Sali (empat gol) bermain 10 minit terakhir.

Berhubung prestasi Ashaari, Sathianathan menyifatkan sayap kiri kelahiran Marang, Terengganu itu berbakat besar, memilik susuk tubuh yang sesuai, berkemahiran tetapi masih memerlukan sedikit masa dan pengalaman serta perlu bekerja lebih keras dari segi corak bertahan.

"Saya cuma tidak mahu lagi ada lagi pemain yang 'tidur' seperti babak pertama dengan Afghanistan. Pasukan masih mengulanginya (kelmarin) dan ia berbahaya apabila menentang pasukan yang lebih rendah ranking dalam Piala Suzuki AFF (di Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5108rVY2H

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan