ARKIB : 04/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
PETALING JAYA - Mahu menang
tapi tidak memandang rendah kemampuan pasukan Laos merupakan sasaran jurulatih
skuad bola sepak negara, B. Sathianathan dalam perlawanan pertama Kejohanan
Bola Sepak Piala Suzuki AFF, di Phuket, Thailand, Sabtu ini.
Menurutnya, pasukan lawan
(Laos) mungkin sudah bersedia awal terutama untuk membentuk pasukan bola sepak
menjelang Sukan SEA di negara tersebut tahun depan.
''Tiada pasukan yang mahu kalah
dalam perlawanan pertama setiap kejohanan, oleh itu pertembungan dengan Laos
nanti perlu dilihat secara serius tanpa memperkecilkan kemampuan pasukan
tersebut,'' katanya dalam sidang akhbar Piala Suzuki AFF di sini, semalam.
Jelas Sathia, pemain perlu
menghormati Laos yang dilatih oleh jurulatih Rusia, Veleriy Dvovin dan
berhati-hati dengan corak permainan mereka terutama sekali dari segi serangan
balas yang dilakukan.
''Kita pernah tewas dengan Laos
jadi saya mahu pemain ambil iktibar dari perlawanan yang lalu, bagaimanapun
pemain saya sudah bersedia untuk kejohanan ini. Mereka mempunyai keyakinan yang
tinggi dan ia memudahkan kami untuk meletakkan sasaran jika keyakinan sudah
terbentuk,'' katanya.
Sathia juga mempertahankan
pasukan yang dibawanya ke Phuket, kerana pemain yang disenaraikan ialah mereka
yang betul-betul mahu bermain untuk pasukan kebangsaan bukan dipilih
berdasarkan prestasi domestik.
''Ini bukan pasukan tua, purata
umur pemain yang disenaraikan ialah 24.7 tahun, pemain seperti Shukor Adan
berusia 29 tahun, Indra Putra Mayahuddin, 28, mereka masih belum melepasi had
umur 30 tahun ke atas.
''Tidak ada apa yang boleh
digantikan dengan pengalaman yang dimiliki oleh pemain senior... mereka mampu
menyerap tekanan berbanding pemain muda yang mudah hilang keyakinan,'' kata
Sathia.
Sathia memberi contoh Indra
Putra yang kurang beraksi dengan baik bersama pasukan Selangor musim ini tetapi
mampu beraksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan.
''Saya tidak kisah sama ada
pemain itu beraksi kurang baik bersama pasukan negeri atau kelab asalkan dia
mampu memberikan prestasi terbaik untuk pasukan kebangsaan, tetapi kalau mampu
beraksi dengan baik dalam kedua-dua pasukan ia lagi bagus.
''Saya juga yakin dengan pemain
yang ada sekarang kerana mereka rajin, dalam bola sepak moden pemain perlu
berkerja keras di dalam padang, sebagai contoh, lihat Cristiano Ronaldo. Dia
akan mengejar semula bola yang dirampas pasukan lawan,'' katanya.
Tambah Sathia, pemain yang ada
sekarang mengikut apa arahan yang diberikan, bukannya melakukan tindakan sesuka
hati di atas padang.
''Ada pemain yang menyinar di
dalam liga tempatan datang berjumpa saya berkata mereka tidak mampu untuk
bermain dengan pasukan kebangsaan.
''Ada juga yang memberi alasan
isteri tidak membenarkan mereka bermain untuk Malaysia, malah ada yang mengaku
cedera tiba-tiba beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, saya tidak mahu
pemain seperti ini,'' katanya.
Skuad bola sepak negara akan
berlepas ke Phuket menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),
Hercules C130 pada pukul 11 pagi hari ini di Lapangan Terbang TUDM Subang.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51BpBl7on
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan