Isnin, 11 Disember 2017

Kaironnisam kembali diuji bertemu Afghanistan hari ini

ARKIB : 20/10/2008
KUALA LUMPUR - Kaironnisam Sahabuddin Hussain dijangka mendapat semula lilitan lengan selaku ketua pasukan negara apabila menghadapi perlawanan pelengkap jadual Kumpulan A bola sepak Pestabola Merdeka Ke-40 dengan Afghanistan, hari ini.

Dengan kesediaan jurulatih negara, B. Sathianathan merehatkan kesebelasan utama dan memberikan peluang barisan simpanan, bek tengah UPB-MyTeam itu didapati berpeluang cerah apatah lagi Malaysia sudah layak ke separuh akhir menerusi dua kemenangan terdahulu.

Kaironnisam yang turut pernah mewakili Perlis dan MPPJ dalam Liga Malaysia, baru sahaja dipanggil menyertai semula skuad negara sejak siri persahabatan di Slovakia, bulan lalu setelah kali terakhir mengepalai skuad Piala Asia di Kuala Lumpur, Julai tahun lalu.

Dia diturunkan sebagai pemain tengah bertahan menggantikan ketua pasukan, Shukor Adan ketika beberapa minit sebelum perlawanan dengan Sierra Leone berakhir, malah sudah beberapa kali bertukar dari posisi asalnya, bek tengah sejak di Slovakia.

"Saya tidak memperkecilkan kemampuan Afghanistan. Pemerhatian saya dalam perlawanan dengan Nepal, Jumaat lalu menunjukkan mereka masih memiliki beberapa pemain yang bagus dan sudah meningkat di sebalik ranking dunia yang lebih rendah.

"Ada di antaranya yang berpengalaman bermain dalam liga Jerman dan bukan semuanya yang berada di Afghanistan yang kita ketahui sebuah negara yang sering dilanda perang.

''Lawan masih sebuah pasukan yang berkemahiran malah bukan boleh dipandang mudah dan kita tidak akan menganggap mereka lebih atau kurang baik daripada Nepal dan Sierra Leone walaupun kita menang kedua-duanya,'' kata Sathianathan.

Shukor juga merupakan antara pemain utama yang bakal direhatkan atau cuma bermain dalam tempoh tertentu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini di samping penjaga gol, Helmi Eliza Elias dan penjaring utama negara, Safee Sali serta Indra Putra Mahayuddin.

Malah, perubahan gelanggang ke Stadium Nasional mulai hari ini bakal membawa sedikit kelainan persembahan Afghanistan yang dibimbing Mohammad Yusuf Kargar terutama sekiranya keadaan padang tidak lagi ditakungi air, becak dan licin seperti di Stadium Petaling Jaya.

Antara pemain yang mendapat perhatian Sathianathan ialah kedua-dua penjaring gol Afghanistan ketika menentang Nepal, Sayed Bashir Azimi dan Hashmatullah Barekzai selain ramai pemain mereka yang mempunyai kelebihan fizikal berbanding tuan rumah.

Bagaimanapun Yusuf mendakwa, Afghanistan hanya membawa empat pemain liga Jerman - Mohammad Salem Nahemi, Jalaluddin Sharityar, Ata Mohmammad Yamrali dan Mansor Faqiryar ke Pestabola malah direhatkan terlebih dulu kerana kurang sihat untuk menentang Nepal.

Menentang Afghanistan turut bakal membuka semula peluang pemain tengah kidal, Hardi Jaafar beraksi sepenuh masa setelah direhatkan langsung ketika menewaskan Nepal 4-0, Rabu lalu dan cuma bermain dalam babak kedua ketika membenam Sierra Leone 4-0, Jumaat lalu.

Khyril yang juga menyumbat satu gol ke atas Nepal, mungkin diberi peluang yang lebih besar untuk memanfaatkan kepantasan larian dan ketepatan rembatannya berbanding penyerang, Zaquan Adha Radzak yang agak tumpul dan hanya menjaringkan satu gol ke atas Sierra Leone.

Barisan kemungkinan: Syed Adney Syed Hussein, Asraruddin Putra Omar, Kaironnisam Sahabuddin Hussain, S. Subramaniam, Daudsu Jamaluddin, Azi Shahril Azmi, Ashaari Shamsuddin, Hardi Jaafar, Khyril Muhymeen Zambri, Nizaruddin Yusof, Safee Sali
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50xKLyvwD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan