Selasa, 12 Disember 2017

Irwan korban keganasan Vietnam

ARKIB : 14/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Penangan keras skuad bawah 22 tahun Vietnam terhadap Irwan Fadzli Idrus, kelmarin memaksa Malaysia melupakan khidmat bek kiri itu pada perlawanan menentang Ulsan Hyundai Tigers dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Myanmar, hari ini.

Dia perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu sekali gus terkeluar daripada kejohanan jemputan antarabangsa tahunan Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF) di Yangon itu akibat kecederaan buku lali yang agak serius.

Selain Irwan, bek tengah, Aidil Zafuan Radzak turut mungkin diketepikan menentang kelab yang menduduki tempat kedua Liga Korea Selatan itu akibat corak permainan kasar Vietnam dalam perlawanan yang dimenangi Malaysia 3-0.

''Berita buruknya ialah kita terpaksa merehatkan Irwan daripada kejohanan ini tetapi mujurlah buku lalinya tidak patah. Ia satu berita baik yang disahkan selepas kami membawanya menemui doktor pakar (di Yangon).

"Mengenai keadaan Aidil, kami akan menunggu keputusan pemeriksaan doktor pada kecederaan lututnya. Jika kecederaan tidak mengizinkan, dia juga perlu berehat selama dua atau tiga hari," kata jurulatih B. Sathianathan dari Yangon kepada Utusan Malaysia, semalam.

Skuad negara kini menerajui Kumpulan B Piala Cabaran Grand Royal dengan tiga mata daripada jaringan Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal dan Hardi Jaafar sekali gus membalas dendam kekalahan Pestabola Merdeka bulan lalu dan hanya memerlukan seri hari ini untuk mara ke separuh akhir.

"Posisi bek kiri kini akan diambil alih Asraruddin Putra Omar manakala bek tengah milik Aidil itu mampu diisi oleh Kaironnisam Sahabuddin Hussain yang bermain baik sebagai pemain gantian ketika menentang Vietnam,'' katanya.

Kelmarin, skuad negara turut menguji penjaga gol ketiganya yang bakal beraksi dengan Perlis, Badrulzaman Halim selepas mereka tampil di Yangon tanpa pemain utama, Helmi Eliza Elias yang akan mendirikan rumah tangga pada 22 November ini.

Sathianathan turut memberikan semula tempat dalam kesebelasan utama kepada sayap kiri Kedah, Khyril Muhymeen Zambri yang sering diketepikan ketika Pestabola sementara Indra berganding dengan Safee Sali di barisan depan.

"Saya cukup berpuas hati dengan prestasi Safee walaupun dia tidak menjaringkan gol kerana menerusi rembatan kencangnya yang termuntah daripada tangkapan penjaga gol Vietnam, membolehkan Amirulhadi menyumbat gol kedua," katanya.

Mengenai Ulsan Hyundai Tigers, katanya, ramai pemain kelab Korea itu mempunyai susuk tubuh yang besar selain diperkuatkan dengan tiga pemain import dari Brazil tetapi tetap membuka kesempatan skuad negara menimba pengalaman menentang pasukan luar Asia Tenggara.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz516zFD5uV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan