ARKIB : 19/11/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia
terkulai di tangan pasukan tuan rumah Myanmar 1- 4 dalam perlawanan separuh
akhir kejohanan bola sepak Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Pusat Belia
Thuwunna, Yangon semalam akibat kealpaan barisan pertahanan.
Jurulatih kebangsaan B.
Sathianathan berkata, beliau hampa dengan sikap pemain yang menyebabkan
perlawanan yang sepatutnya seimbang bertukar menjadi sebaliknya.
Jelasnya, gawang pasukan negara
bolos empat kali dengan masing-masing dua gol di kedua-dua babak akibat para
pemain pertahanan meninggalkan posisi masing-masing kerana terburu-buru
membantu barisan depan menjaringkan gol.
Menurutnya, ia amat ketara
apabila Myanmar mendahului 2-0 di babak pertama apabila bahagian pertahanan
skuad kebangsaan tidak dikawal dengan baik sehingga mudah ditembusi pemain lawan.
Katanya, ini menunjukkan para
pemain tidak mempunyai disiplin di dalam padang sehingga akhirnya mengundang
padah.
''Apabila kita ketinggalan 0-2
di babak pertama, para pemain terutama di posisi pertahanan mula ghairah dalam
membantu barisan depan memburu gol.
''Kita berjaya merapatkan
kedudukan 1-2 menerusi jaringan Amirulhadi Zainal di babak kedua.
''Begitupun selepas jaringan
Amirulhadi itu, para pemain ghairah untuk menambah gol.
''Di sinilah silapnya... Akibat
terlalu ghairah memburu gol, posisi pertahanan kerap kosong.
''Pasukan lawan bijak mengambil
kesempatan dari ruang-ruang kosong di bahagian pertahanan apabila berjaya
menjaringkan dua gol mudah di babak kedua.
''Ia satu persembahan yang
menghampakan dan permainan seperti itu tidak sepatutnya diulangi ,'' katanya
kepada Utusan Malaysia dari Yangon, semalam.
Pasukan tuan rumah Myanmar
mendahului 2-0 di babak pertama menerusi jaringan ketua pasukan Soe Myat Min pada
minit ke-25 dan masa kecederaan babak pertama.
Pasukan kebangsaan bangkit
merapatkan kedudukan 1-2 menerusi jaringan Amirulhadi Zainal pada pertengahan
babak kedua.
Namun kealpaan benteng
pertahanan skuad negara membolehkan Myan Min menjaringkan gol ketiga pada minit
akhir perlawanan sebelum Aung Kayw Mwo melengkapkan gol keempat pasukan tuan
rumah pada masa kecederaan.
Tambah Sathia, ketiadaan
tonggak pertahanan Daudsu Jamaludin yang digantung akibat mengumpul dua kad
kuning serta Irwan Fadzli Idrus yang cedera sedikit sebanyak menjejaskan
kekebalan pertahanan skuad kebangsaan.
Begitupun katanya, ketiadaan
kedua-dua pemain tersebut bukan alasan untuk pemain di benteng pertahanan alpa
di posisi masing- masing.
''Kita beraksi dalam cuaca
terik pada pukul tiga petang dan para pemain pula agak lambat panas.
''Sebenarnya kita juga banyak
memperoleh peluang gol tetapi agak malang apabila hanya satu gol sahaja yang
berjaya dijaringkan.
''Kita banyak terlepas peluang
gol antara yang terbaik pada minit ke-70 ketika kedudukan 1-2 apabila Safee
Sali hanya berdepan dengan penjaga gol tetapi bola terkena penjaga gol.
''Rembatan voli Indra Putra
Mahayuddin kemudiannya terkena tiang, jika tidak kita keputusan perlawanan
mungkin berubah,'' jelasnya.
Sathia menjelaskan, kekalahan
tersebut sewajarnya menjadi pengajaran buat pemain sebelum beraksi dalam
kejohanan yang lebih penting iaitu Piala Suzuki AFF di Thailand bulan depan.
''Kita bernasib baik kerana
dengan menyertai kejohanan ini kita dapat mengesan kelemahan lebih awal sebelum
menyertai kejohanan yang lebih penting di Piala AFF.
''Selepas perlawanan tadi
(semalam) saya telah memberi amaran kepada pemain tertentu supaya bangkit
memperbaiki kesilapan dan memberikan persembahan seratus peratus selepas ini
kerana kita mempunyai misi yang lebih penting selepas ini.
''Usah ulangi lagi kesilapan
seperti hari ini (semalam). Inilah pentingnya disiplin dalam padang, jangan
sesekali meninggalkan posisi dalam keghairahan memburu gol.
''Jika tidak kita bakal
mengalami nasib yang sama dalam kejohanan Piala AFF kelak,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5187P5fdx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan