ARKIB : 14/02/2009
KUALA LUMPUR - Jatuh lagi.
Namun ia tidak mengejutkan banyak pihak. Bagaikan sudah diduga.
Dengan prestasi yang
ditunjukkan skuad negara masa kini, pasti tidak ramai yang terkejut dengan
kemerosotan ranking bola sepak negara yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola
Sepak Antarabangsa (FIFA).
Jika sebelum ini, ramai yang
mengeluh melihat angka ranking 158 yang dihuni pasukan negara, kali ini ia
jatuh dua anak tangga lagi untuk berada di 161, rangking terendah kedua pernah
diduduki oleh skuad negara.
Paling buruk, Malaysia pernah
berada di ranking ke-170 pada April 2008 manakala yang terbaik, berada di
tangga ke-75 pada Ogos 1993 yang ketika itu dikemudi oleh Ken Worden yang kini
selesa melatih skuad Terengganu.
Ironiknya, kemajuan dan
prestasi kegemilangan negara itu terhenti pada 1994 kerana berlakunya rasuah
terbesar yang melanda bola sepak Malaysia.
Lebih menarik, ranking terbaru
ini meletakkan pasukan negara berada di bawah pasukan Myanmar - pasukan dari
negara yang masih huru hara - dan pernah dikalahkan 4-0 pada perlawanan
Pestabola Merdeka 2008 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Namun, mereka juga berjaya
membalas dendam dengan mengalahkan negara 4-1 pada Piala Cabaran Grand Royal
2008 di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar.
Menurut laman web FIFA,
Malaysia mengumpulkan 104 mata pada Februari, kurang 10 mata daripada senarai
bulan lepas, dan hanya sembilan kedudukan lebih baik daripada kedudukan
terendah iaitu tempat ke-170 pada April tahun lepas.
Hanya 16 negara yang kedudukan
mereka jatuh dalam ranking FIFA yang melibatkan 201 negara.
Sejak dua tahun lepas, pada
2007 dan 2008, kedudukan terbaik Malaysia adalah ranking ke-151 pada Oktober
2008 selepas muncul naib juara pada kejohanan Pestabola Merdeka.
Di kalangan negara Asia
Tenggara, Malaysia kekal di tempat keenam di belakang Thailand (117), Singapura
(131), Vietnam (135), Indonesia (137) dan Myanmar (158).
Filipina pada kedudukan ke-164,
Laos (171), Kemboja (179) dan Brunei (183).
Dalam ranking Asia, Malaysia
jatuh satu kedudukan dalam ranking Februari selepas berada pada kedudukan ke-29
bulan lepas.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51oQHPVnM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan