Isnin, 11 Disember 2017

Malaysia mara bergaya

ARKIB : 18/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan FERZALFIE FAUZI
Safee Sali (depan) diasak oleh pemain Sierra Leone, Alusine Turay pada perlawanan Pestabola Merdeka 2008 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam tadi.
- Gambar Shaifudin Mohd Nor

PETALING JAYA - Malaysia terus mempamer kejaguhannya di padang becak dan licin apabila menundukkan Sierra Leone 4-0 untuk melangkah ke separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-40 di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Namun, pasukan negara bagaimanapun terpaksa menanti sehingga penjaga gol Sierra Leone bertukar sebelum membuka jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-69.

Safee Sali, Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak menambah tiga lagi gol untuk memastikan kemaraan skuad bimbingan B. Sathianathan itu mencatat kemenangan tanpa rasa kekok dengan kelebihan fizikal lawan dari Afrika.

Kemenangan kedua selepas membenam Nepal 4-0 Rabu lalu turut melonjakkan Malaysia sebagai peneraju Kumpulan A.

Pasukan pelawat bimbingan Manuel R. Bliches itu nyaris mengejutkan tuan rumah pada minit ke-21 dalam satu serangan balas pantas dari sebelah kiri menerusi Dwight Foray namun penjaga gol, Helmi Eliza Elias pantas membaca rembatan kaki kiri dan menangkapnya.

Tiga minit kemudian, bek tengah Aidil Zafuan Radzak yang cuba naik membantu serangan Malaysia sempat melepaskan rembatan dalam kotak penalti tetapi penjaga gol pelawat, Lansana Jalloh berjaya menyelamatkan gawangnya.

Malaysia menggandakan asakan lalu memperoleh sepakan bebas pada minit ke-30 yang kencang diledakkan Indra Putra Mahayuddin malangnya Jalloh sekali lagi menghalang walaupun tangkapannya muntah.

Pelawat dari Afrika itu kembali bangkit menyaingi dengan sepakan kaki kiri Alusine Turay pada minit ke-38 yang hanya tersasar beberapa inci dari kanan gawang Malaysia ketika Helmi sudah pun tertewas dengan layangan badannya.

Mohamed Kanu yang menggantikan Jalloh masih kukuh mempertahankan kubu Sierra Leone sebelum akhirnya tumpas pada minit ke-69.

Melalui gerakan solo dari sebelah kiri, Indra membolosi gawang Sierra Leone selepas mendapat satu hantaran lambung ketua pasukan, Shukor Adan untuk gol sulung yang amat ditagih itu.

Tiga minit selepas itu, Safee melebarkan kedudukan skuad negara dengan tolakan mudah untuk gol kedua Malaysia hasil umpanan Amirulhadi yang memperdayakan Kanu yang cuba meluru keluar.

Sierra Leone jelas kepenatan untuk mengekang Harimau Malaya yang semakin garang sehingga menambah gol menerusi tandukan Aidil Zafuan Radzak hasil sepakan sudut Hardi Jaafar dari sebelah kanan.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan terdahulu Kumpulan A, Nepal mensia-siakan kelebihan bangkit dengan dua gol dalam tempoh enam minit setelah diikat oleh Afghanistan 2-2 angkara kecuaian benteng mereka.

Kubu Nepal lalai dalam mengawal asakan balas lawan lalu dihukum dengan jaringan penyamaan Sayed Bashir Azimi pada minit ke-86
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50xEEzHia

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan