Isnin, 18 Disember 2017

Harap idea pemain veteran

ARKIB : 31/01/2009
Oleh ALI MAHMOOD
sukan@utusan.com.my
BERA - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menemui beberapa bekas pemain bola sepak kebangsaan bagi mendapatkan input sebelum beliau bermesyuarat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 4 Februari ini dalam mencari penyelesaian terhadap hala tuju bola sepak negara.

Melalui pertemuan itu, beliau berharap akan mendapat pandangan dan gambaran sebenar mengenai perkembangan bola sepak semasa negara serta pendekatan untuk menanganinya supaya era kegemilangan seperti tahun-tahun 60-an hingga awal 90-an dapat dikembalikan.

Bagi tujuan itu, beliau telah menghantar surat jemputan kepada bekas pemain terbabit termasuk Datuk Ghani Minhat, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Ridzuan Abdullah yang pernah menjulang nama negara ketika era kegemilangan mereka.

''Saya harap semua bekas pemain terbabit dapat hadir pada majlis itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur kerana ia adalah satu pertemuan penting untuk kita mendengar pandangan dan buah fikiran mereka yang boleh saya bawa ke mesyuarat bersama FAM pada 4 Februari nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat daerah di Felda Triang 3, dekat sini semalam.

Ismail Sabri memberitahu, mesyuarat 4 Februari itu bukan untuk mencari kesalahan FAM sebagai badan induk bola sepak negara atau menuding jari kepada pihak lain tetapi bertujuan mencari penyelesaian secara menyeluruh.

Beliau bagaimanapun menolak andaian kononnya masalah kewangan dan struktur FAM menjadi punca kegagalan pasukan bola sepak kebangsaan seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

''Mungkin ada yang mengatakan kewangan dan struktur FAM yang menjadi masalah tetapi itu bukan punca sebenar. Ada orang mengatakan masalah latihan, jurulatih dan sebagainya tetapi sebenarnya ada banyak masalah yang mungkin akan kita temui.

''Bagaimanapun saya tidak boleh memberikan gambaran sebenar tentang masalah tersebut sebelum 4 Februari ini kerana saya akan berbincang dengan FAM untuk mengenal pasti masalah sebenar dan mencari jalan penyelesaiannya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berpendapat FAM tidak perlu mengubah prinsipnya untuk tidak membenarkan pemain import menyertai pertandingan dalam Liga Malaysia.

Katanya, jika FAM membuka semula pintu kepada pemain import, ia akan menimbulkan kekeliruan dan kepada peminat sukan itu.

Katanya, pemain import bukan masalah pokok kerana kehadiran mereka sebelum ini tidak mengubah atau membantu meningkat mutu permainan bola sepak negara.

Sebaliknya kata beliau, jurulatih sebenarnya yang berperanan membentuk pemain yang berkebolehan selain daripada bakat dan usaha bersungguh-sungguh pemain itu sendiri.

''Pemain import dibayar gaji tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pemain tempatan dan ini tidak sihat kerana ia boleh menjatuhkan moral mereka (pemain tempatan).

''Sudah dua kali FAM mengubah dasar kemasukan dan menghalang pemain import tetapi ia tidak memberikan apa-apa kesan pun terhadap peningkatan pemain tempatan, sebaliknya tanpa pemain import, kita sudah dua kali layak beraksi di Sukan Olimpik," kata beliau.

Tambahnya, kebanyakan pasukan membawa masuk pemain import di posisi penyerang tetapi pada masa yang sama pemain tempatan tidak dilatih dan digilap sebagai penyerang dan ini sudah tentu menyebabkan Malaysia terus ketandusan pemain penyerang.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51bEPWhDu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan