Isnin, 11 Disember 2017

Lawan demi maruah

ARKIB : 25/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan FERZALFIE FAUZI
 
jadi rebutan... Ketua pasukan Malaysia, Mohd. Shukor Adan (kiri) dan ketua pasukan Vietnam, Mai Tien Thanh memegang Piala Pestabola Merdeka yang menjadi rebutan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. – GAMBAR SHAIFUDIN MOHD. NOR

PETALING JAYA – Jurulatih negara, B. Sathianathan sudah bersedia dan mengenal pasti pemain tertentu untuk menyudahkan sepakan penalti sekiranya perlawanan akhir bola sepak Pestabola Merdeka Ke-40 menentang Vietnam, malam ini turut diheret ke penentuan tersebut selepas 90 minit dan masa tambahan.

Katanya, enam atau tujuh pemain negara daripada 22 anggota skuad terkini mampu menggalas tugas itu yang turut memerlukan keberanian tambahan dan bukan sekadar kerana kerap menjalani latih tubi mengambilnya sebelum perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

“Saya sudah memiliki calonnya tetapi saya tidak boleh memaksa seseorang pemain itu sekiranya dia tiada keberanian untuk melakukannya ketika perlawanan dan di saat genting. Penalti tidak boleh disempurnakan hanya menerusi latihan khas,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Malaysia yang mengganyang Myanmar 4-0 pada separuh akhir, kelmarin akan menghadapi Vietnam yang terdahulu bangkit mengatasi Sierra Leone menerusi penentuan penalti 3-2 selepas terikat 2-2 sekalipun permainan diheret ke 30 minit masa tambahan.

Skuad negara yang belum kalah dan tanpa dibolosi selepas empat perlawanan setakat ini, cuma kurang selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan Pestabola apabila berdepan Vietnam yang dilaporkan cuma membariskan skuad belia bagi persediaan menghadapi Sukan SEA Laos 2009.

Mengenai lawan, Sathianathan menganggap bukan semua pemain mereka yang baru berusia bawah 22 tahun seperti didakwa kerana terdapat mereka yang dikenalinya pernah bermain dalam pelbagai pertandingan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Piala Asia.

“Bagi saya, lawan masih merupakan sebuah pasukan yang memiliki perwatakan mantap kerana berjaya mengalahkan skuad kebangsaan Myanmar 3-1 (peringkat Kumpulan B) dan bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat dan mengatasi Sierra Leone menerusi penalti.

“Vietnam tiada apa yang perlu dirugikan tetapi mereka akan turun berjuang habis-habisan dan perlu diingat ialah bola sepak hari ini dinilai atas kerja keras dan etika kerja anda di padang,” ujarnya yang menerajui skuad juara Pestabola tahun lalu dengan menewaskan Myanmar 3-1.

Berhubung kemungkinan rombakan khususnya pada barisan benteng selepas menilai prestasi pemain tertentu yang goyah ketika menentang Myanmar kelmarin, kata Sathianathan: “Kami masih ada dua sesi latihan dan saya akan menanti sehingga saat akhir sebelum perlawanan untuk memutuskannya.”

Jurulatih Vietnam, Mai Duc Chung pula meletakkan tuan rumah sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara berdasarkan peningkatan mereka dalam setiap perlawanan tetapi tetap menjanjikan tentangan sengit untuk tatapan mungkin segelintir warganegaranya yang turut hadir menonton.

“Kami akan mencuba yang terbaik walaupun Malaysia sebuah pasukan yang mantap hampir pada setiap bahagian dan sentiasa meningkat. Kami jangkakan perlawanan akhir ini berlangsung dengan menarik dan disaksikan oleh lebih ramai penonton,” katanya.

Bagaimanapun, Duc Chung menolak untuk meramalkan sama ada pasukannya akan turut bertahan dan cuba mengheret Malaysia ke penentuan penalti seperti yang berjaya dilakukannya ke atas Sierra Leone kelmarin dan dibantu kecekapan hadangan penjaga golnya, Bui Tan Truong.

“Bola sepak ialah permainan yang sukar diramalkan keputusannya tetapi sama ada menang atau kalah, ia bukan keutamaan kami dan kami akan turun tanpa membawa sebarang tekanan berbanding tuan rumah,” ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz510rTt8j5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan