ARKIB : 14/10/2008
KUALA LUMPUR - Esok pasukan
negara akan memulakan kempen Pestabola Merdeka 2008 dengan menentang Nepal dan
segala persiapan setakat ini berjalan lancar kecuali Hardi Jaafar yang
mengalami kecederaan di bahagian punggung, lapor FERZALFIE FAUZIE.
Jurulatih negara,
B.Sathianathan berkata, sejak persiapan dari Slovakia hingga ke perlawanan
persahabatan menentang Pakistan Jumaat lalu pemain negara sentiasa mempamerkan
peningkatan.
''Segala persiapan berjalan
mengikut apa yang dirancang, pemain mula mempamerkan peningkatan tetapi saya
tidak mahu mereka leka seperti mana yang ditunjukkan pada separuh masa pertama
menentang Pakistan Jumaat lalu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
semalam.
Jelasnya, semua pemain berada
dalam keadaan terbaik kecuali Hardi Jaafar yang mengalami kecederaan punggung
ketika perlawanan menentang Pakistan.
''Jika keadaan Hardi masih
belum mengizinkan untuk dia turun beraksi esok besar kemungkinan Indra Putra
Mahayuddin atau Hairuddin Omar akan menggantikan tempatnya di sayap kiri.
''Ini adalah kelebihan pasukan
tahun ini, kami mempunyai barisan pemain yang seimbang dan mana-mana pemain
boleh mengisi kekosongan jika seseorang pemain itu cedera,'' kata Sathia.
Ujarnya, jika Hardi tidak dapat
diturunkan ia akan memberi ruang kepada pemain muda dari Terengganu Mohd
Ashaari Shamsuddin diturunkan dalam kesebelasan utama.
''Ashaari seorang pemain yang
hebat, dia bukan sahaja mempamerkan aksi mantap pada perlawanan menentang
Pakistan tetapi sejak dari Slovakia lagi.
''Bagaimanapun saya masih belum
boleh mengumumkan kesebelasan utama untuk menjelang perlawanan menentang Nepal
nanti, ia adalah prinsip saya tidak mengumumkan kesebelasan utama terlalu
awal,'' katanya.
Dalam pada itu Sathia juga
turut mengikatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi corak permainan pada
separuh masa pertama ketika menentang Pakistan Jumaat lalu.
''Saya nasihatkan mereka supaya
mempamerkan permainan mantap dan tidak mengulangi kesilapan yang dipamerkan
tempoh hari.
''Nepal bukan pasukan setaraf
dengan Pakistan, mereka lebih kuat dari Pakistan ini telah dibuktikan dalam
perlawanan Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF) Jun lalu,''
katanya.
Tambah Sathia lagi, pemain yang
bakal diturunkan esok tidak boleh pandang mudah dan sentiasa mempunyai perasaan
was- was jika tidak mahu dimalukan oleh Nepal.
Dalam perlawanan pembukaan
Pestabola Merdeka ke-40 esok Sierra Leone akan bertemu Afghanistan pukul 6.30
petang manakala Malaysia menentang Nepal pukul 8.45 malam.
Kedua-dua perlawanan akan
berlangsung di Stadium Petaling Jaya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50vnZWvOd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan