Khamis, 14 Disember 2017

Laluan sukar menanti skuad kita

ARKIB : 10/12/2008
PHUKET - Segala-segala seperti tidak memihak kepada B. Sathianathan dan anak-anak buahnya apabila ketika laluan Malaysia ke separuh akhir semakin sukar dan kedudukannya selaku jurulatih mula tergugat, Malaysia kini terpaksa berhadapan Thailand di tempat lawan hari ini.

Keputusan seri sudah pasti menyebabkan mereka gagal layak ke separuh akhir, malah kemenangan ke atas tuan rumah itu mungkin tidak mencukupi jika Vietnam berjaya mencatatkan kemenangan besar ke atas pasukan belasahan, Laos dalam perlawanan yang diadakan selepas perlawanan Malaysia-Thailand.

Thailand sudah menempah tempat ke separuh akhir selepas menundukkan Laos 6-0 dan Vietnam 2-0.

"Ini adalah misi hidup dan mati dan ia jelas berdasarkan tuah. Jika kami menang, kami kena tunggu keputusan satu lagi perlawanan.

''Vietnam perlu tundukkan Laos lebih daripada tiga gol dan mereka ada kelebihan kerana tahu keputusan perlawanan pertama," kata Sathianathan.

Malaysia akan menentang Thailand pada pukul 5 petang manakala perlawanan Laos-Vietnam pada pukul 7.30 malam di stadium yang sama kerana Phuket tidak cukup stadium untuk mengadakan dua perlawanan serentak dan Malaysia enggan bermain di Bangkok.

Vietnam yang tewas kepada Thailand 0-2 menundukkan Malaysia 3-2 untuk mengutip tiga mata manakala Malaysia yang menundukkan Laos 3-0 dan tewas kepada Vietnam juga memperoleh tiga mata.

Sathianathan yang diletakkan sasaran untuk layak ke perlawanan akhir atau disingkirkan daripada jawatannya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun telah berjaya membawa pasukan kebangsaan ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2008, berkata, pertemuan dengan Thailand sukar kerana pasukan tuan rumah akan bersungguh-sungguh untuk menang.

"Mereka yang terbaik di rantau ini. Mereka rehatkan semua pemain terbaik mereka ketika bertemu Laos tetapi kami terpaksa bermain dengan semua pemain utama dalam kesemua tiga perlawanan... bukan mudah untuk para pemain untuk pulih tetapi saya gembira kami masih di Phuket untuk perlawanan ketiga," ujarnya.

Ada desas-desus bahawa FAM merancang untuk mengambil bekas jurulatih Indonesia, Peter White bagi menggantikan Sathianathan selepas kontraknya selama setahun berakhir.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Peter Reid berkata, pasukannya akan berusaha untuk mencatatkan kemenangan ketiga mereka walaupun sudah layak ke separuh akhir.

"Saya akan turunkan pemain-pemain terbaik untuk pertemuan esok kerana seri tidak cukup baik untuk saya. Bagaimanapun, saya telah beritahu pemain-pemain saya bahawa Malaysia bukanlah lawan yang mudah ditewaskan kerana mereka ada pemain yang handal, teknik yang baik dan terdesak untuk menang," kata bekas pemain antarabangsa England itu.

Reid berkata, Malaysia beraksi baik ketika bertemu Vietnam tetapi tidak bernasib baik apabila tewas.

- Bernama
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51DnifbNJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan