Isnin, 18 Disember 2017

'Beri kepada orang bola sepak'



ARKIB : 04/02/2009

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - ''Biar orang bola sepak tulen yang mengendalikannya.'' Demikian antara komen beberapa tokoh bola sepak tempatan terhadap cadangan agar jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak serta diisi oleh bekas pemain dan jurulatih kebangsaan.

Menurut mereka, pengalaman serta pengetahuan para bekas pemain dan jurulatih tempatan sememangnya sesuatu yang amat berguna bagi meningkatkan mutu bola sepak negara yang dilihat kian bercelaru.

Bekas bintang penyerang Selangor, Dollah Salleh yang kini melatih Shahzan Muda berpendapat, pemain veteran yang sebelum ini telah berpuluh tahun berkecimpung dalam arena bola sepak pastinya mempunyai ramuan tersendiri untuk dikongsikan bersama pasukan kebangsaan.

"Tidak ada salahnya kita mencuba khidmat bekas pemain dan jurulatih ini. Mereka sudah lama berada di dalam di tengah padang dan pastinya mereka lebih memahami perasaan pemain, situasi serta keadaan bola sepak di negara kita.

"Kalau hendak bercakap, siapa pun boleh bercakap tetapi tidak ramai yang tahu pahit maung dalam dunia bola sepak tempatan," katanya yang pernah membawa Selangor muncul juara tiga gelaran dalam dua musim berturut-turut.

Beliau mengulas cadangan yang diberikan oleh bekas pemain dan jurulatih kebangsaan yang mahukan jawatankuasa FAM dirombak dan memberi tugas itu kepada golongan tersebut untuk menaikkan semula kecemerlangan bola sepak negara.

Mereka berkata demikian dalam majlis ramah mesra Yayasan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim juga bersetuju dengan pandangan Dollah selain yakin terdapat beberapa bekas pemain kebangsaan yang mampu menjalankan tugas pentadbiran dan pembangunan bola sepak dengan baik.

Menurut Irfan, pengalaman serta ilmu yang dimiliki para bekas pemain dan jurulatih kebangsaan sememangnya amat berguna dalam memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain terutamanya dari segi pembangunan.

"Berilah ruang kepada para bekas pemain untuk bersuara memberikan pendapat. Usah sekadar memberikan jawatan tetapi suara kami kurang dipedulikan. Ia sudah semestinya sesuatu yang merugikan," katanya.

Pengendali skuad kenari, Mohd. Azraai Khor Abdullah pula menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tepat dan kena pada masanya dalam usaha untuk memartabatkan mutu bola sepak negara.

"Pelantikan Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad sebagai Setiausaha Agung FAM sememangnya satu langkah yang tepat kerana beliau juga merupakan bekas pemain bola sepak tetapi sayangnya tidak ramai orang di sekeliling beliau yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

"Biarlah orang bola sepak tulen yang sememangnya mempunyai misi serta visi membangunkan bola sepak diangkat menganggotai jawatankuasa itu," katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan pula menasihatkan agar bekas-bekas pemain yang mahu menabur bakti menjadi ahli jawatankuasa itu supaya mengumpul ilmu sebanyak mungkin di dalam bidang pentadbiran.

"Seseorang yang terpilih menjadi ahli jawatankuasa itu perlulah seorang yang berilmu serta faham mengenai cara pengurusan. Perlu juga ada falsafah selain ikhlas melakukan kerja. Banyak yang perlu dilakukan dan kalau setakat mahu menonjolkan diri, lupakan saja," ujarnya.

Bekas pemain kebangsaan era 80-an, K. Gunalan pula berharap jika benar cadangan itu mahu dilaksanakan, ahlinya perlulah dipilih di kalangan para pemain mahupun jurulatih yang pernah mengharumkan nama negara dan terbukti berjaya sekurang-kurangnya di arena bola sepak tempatan.

"Nama-nama seperti Datuk Ghani Minhat, Abdullah Ali serta Datuk M. Chandran sememangnya telah membuktikan kredibiliti mereka di dalam arena bola sepak. Jika mereka masih mampu menyumbang dalam bola sepak moden kini, berilah mereka peluang," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51gjNXilI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan