Selasa, 5 Disember 2017

Titus sah sertai barisan skuad negara


 

ARKIB : 11/09/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
james Titus Palani

KUALA LUMPUR - Pemain negara yang menimba pengalaman di Perancis, James Titus Palani sah akan mewakili skuad bola sepak kebangsaan buat pertama kali di kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) Disember ini.

Jurulatih negara, B. Sathianathan yang mengesahkan perkara itu berkata, Titus akan bersama-sama dengan barisan skuad kebangsaan yang tewas tipis di tangan kelab England, Chelsea dalam perlawanan persahabatan Julai lalu.

Menurut Sathia, Titus sendiri telah mengesahkan akan menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan tersebut.

''Kita memang pernah beberapa kali memanggil Titus untuk mewakili negara sebelum ini tetapi hampa kerana dia terlibat dalam aksi bersama kelabnya.

''Namun kali ini Titus telah menyatakan dia pasti menyertai kejohanan tersebut tetapi akan kembali ke Malaysia pada November.

''Saya berharap kehadiran Titus akan meningkatkan lagi corak permainan pasukan kita,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Pada kejohanan AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama naib juara 2007, Thailand dan Vietnam pada perlawanan di Bangkok.

Satu lagi lawan skuad negara ialah juara pusingan kelayakan di Kemboja pada Oktober ini yang akan melibatkan tuan rumah, Laos, Brunei, Filipina dan Timor Leste.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah naib juara pada edisi 1996 di Singapura di bawah bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.

Juara bertahan, Singapura beraksi dalam Kumpulan A di Jakarta dengan tuan rumah Indonesia, Myanmar dan naib juara pusingan kelayakan tersebut.

Tambah Sathia, 30 pemain telah memulakan sesi latihan pusat sejak 10 hari lalu.

Katanya, para pemain akan mengharungi lebih daripada lima perlawanan persahabatan dan dua kejohanan sebelum Piala Suzuki AFF.

''Sebanyak 25 pemain akan ke Slovakia pada 13 September ini bagi mengadakan lima perlawanan persahabatan di sana iaitu dua perlawanan dengan kelab liga super dan tiga lagi dengan kelab divisyen satu negara itu.

''Selepas itu para pemain akan pulang ke tanah air sempena hari raya dan kembali menyambung latihan.

''Saya merancang satu perlawanan persahabatan dengan Sri Lanka sebelum mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka pada 15 hingga 25 Oktober ini.

''Selepas itu kita akan ke Myanmar untuk menyertai kejohanan Piala Cabaran di sana.

''Saya lebih menekankan penyertaan pemain peringkat kejohanan dan bukannya perlawanan persahabatan.

''Ini kerana saya mahu para pemain merasai bahang pertandingan di sesuatu kejohanan yang lebih mencabar berbanding perlawanan persahabatan,'' katanya.

Mengenai harapan negara di kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger, Sathia berkata, peluang semua pasukan adalah seimbang kerana standard semua pasukan hampir sama.

''Tiada satu pasukan pun yang boleh berbangga sebagai pasukan nombor satu ASEAN,'' katanya.

Gandingan pemain baru dan berpengalaman pada perlawanan persahabatan dengan Chelsea tempoh hari terbukti membuahkan hasil apabila skuad kebangsaan berjaya mengekang naib juara Liga Perdana England itu menang besar.

Sathia menyenaraikan pemain berpengalaman seperti Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Indra Putra Mahayuddin, Hardi Jaafar serta Hairudin Omar dengan pemain baru seperti Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, Mohd. Fauzi Nan serta Amirulhadi Hassan.

''Selain pemain yang sama, saya juga akan mengamalkan corak permainan yang sama iaitu taktik menyerang di mana semua pemain disandarkan harapan untuk menjaringkan gol, tidak lagi menerusi seorang penyerang sahaja,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50OB5vjHS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan