Rabu, 13 Disember 2017

Jangan terus ulang kesilapan biasa

ARKIB : 06/12/2008
 
PEMAIN senior terus mendapat perhatian Sathianathan dalam merencanakan hala tuju bola sepak negara di Piala AFF yang akan menyaksikan negara bertemu dengan Laos hari ini.

KUALA LUMPUR - Pasukan kebangsaan bukan sahaja perlu menghormati Laos malahan perlu lebih berwaspada terhadap ancaman pasukan itu yang melaungkan keazaman tinggi untuk menumbangkan Malaysia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF di Phuket hari ini.

Untuk itu, jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan mengingatkan pemain supaya mengelak melakukan kesilapan mudah bagi memastikan laluan ke separuh akhir tidak berdepan rintangan besar.

Jelas Sathia, walaupun Laos sekadar pasukan dari peringkat kelayakan, itu tidak bermakna cabaran mereka boleh dipandang rendah.

''Dalam sidang akhbar hari ini, Laos menunjukkan keinginan tinggi untuk menewaskan kita.

''Mereka menyatakan akan bermain secara menyerang dan bukannya bertahan.

''Bagi saya ini merupakan satu amaran buat kita.

''Laos juga memiliki kelebihan tersendiri kerana mempunyai dua atau tiga pemain yang berskil tinggi.

''Aksi pemain tersebut sempat saya saksikan ketika Pesta Bola Merdeka tahun lalu dan Sukan SEA di Korat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Bagi memastikan tiada kejutan oleh Laos, Sathia mengingatkan pemain supaya tidak mengulang dua kesilapan lazim yang pernah dilakukan oleh pemain dalam dua perlawanan antarabangsa baru- baru ini.

''Pertama saya tidak mahu pemain mengulangi kesilapan seperti mana ketika kita tewas 1-4 kepada Myanmar di separuh akhir Piala Cabaran Grand Royal.

''Kesilapan ketika itu kerana pemain tidak menjaga disiplin permainan apabila pemain pertahanan meninggalkan posisi bagi membantu jentera serangan

''Jika kesilapan seumpama itu diulangi ia akan mengundang padah kerana Laos mampu melakukan gerakan solo lantaran skil individu yang dimiliki oleh beberapa pemainnya.

''Saya juga tidak mahu para pemain mengulangi kesilapan seperti mana kita seri 2-2 dengan Singapura dalam perlawanan persahabatan di mana para pemain lambat bangkit.

''Dalam pertandingan ini para pemain perlu sentiasa konsisten di sepanjang perlawanan dan jangan terlalu lama mengambil masa untuk 'panas', ini bukan lagi perlawanan persahabatan,'' ujarnya.

Begitupun jelas Sathia, beliau sudah bersedia untuk menyekat impian tinggi Laos dengan semangat dan keazaman tinggi yang ditunjukkan pemain.

''Begitu para pemain jangan fikir soal lain selain daripada tiga mata penuh dalam perlawanan esok.

''Jika tidak... jangan berangan- angan untuk ke separuh akhir,'' tegasnya.

Dalam pada itu Sathia bimbang terhadap permukaan padang venue tunggal kejohanan di Stadium Surakul, Phuket yang keras, tidak rata, kurang rumput dan terlalu kering.

Menurutnya, masalah itu menjadi rungutan jurulatih semua pasukan yang bertanding.

''Kita telah menguji padang hari ini (semalam) dan agak malang kerana permukaannya begitu teruk.

''Permukaan yang hampir 'botak' akan menyebabkan pergerakan bola terlalu laju dan ini akan merencatkan corak permainan.

''Untuk itu saya mengingatkan pemain supaya sentiasa memberi tumpuan ketika membuat dan menerima hantaran.

''Esok (hari ini) saya akan meminta pihak penganjur supaya menyiram air di permukaan padang supaya permukaan tidak terlalu kering,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51Cl2l8MF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan