Rabu, 13 Disember 2017

Silap penjaga gol bawa padah

ARKIB : 09/12/2008
PHUKET - Kesilapan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias menyaksikan Malaysia berdepan dengan prospek pulang awal daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF apabila tewas 2-3 kepada Vietnam pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Surakul di sini, semalam.

Pada perlawanan itu, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan 2-2 tetapi kesilapan Mohd. Helmi keluar dari garisan empat minit sebelum wisel penamat membawa padah kepada skuad negara.

Pemain gantian, Nguyen Vu Phong menghukum kealpaan Mohd Helmi dengan melakukan lambungan ke gawang kosong untuk gol kemenangan Vietnam minit ke-86.

Berbekal dengan hanya tiga mata selepas mengatasi Laos 3-0, Malaysia kini menghadapi laluan sukar ke separuh akhir apabila terpaksa mengutip mata penuh ke atas tuan rumah Thailand, esok.

Indra Putra Mahayuddin menjaring kedua-dua gol pasukan negara pada minit ke-19 dan 83 tetapi usahanya itu tidak membawa makna apabila Vietnam mengutip mata kemenangan, sekali gus menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Vietnam, yang sebelum ini tewas kepada Thailand 0-2, dijangka tidak akan menghadapi masalah mengutip mata penuh ke atas Laos pada perlawanan akhir kumpulan.

Malaysia mempunyai peluang untuk membuka jaringan tetapi Mohd. Safee Mohd Sali terlambat sedikit untuk menyambung hantaran Mohd. Zaquan Adha.

Semasa serangan balas, Vietnam berjaya mengambil kesempatan untuk membuka jaringan pada minit ke-15 apabila Mohd. Helmi bertindak lambat untuk menyelamatkan tendangan Pham Thanh Luong.

Empat minit kemudian, Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Indra Putra yang menyambar bola muntah tampanan penjaga gol Vietnam, Duong Hong Son, hasil rembatan Mohd. Safee.

Jaringan itu mendapat bantahan keras pemain dan jurulatih Vietnam, Henrique Da Silva Calisto, yang mendakwa Indra Putra berada dalam keadaan ofsaid tetapi pengadil P. Pandian tetap dengan keputusan membenarkan gol penyamaan itu.

Pengadil juga mengarahkan Calisto untuk duduk di bangku penonton berikutan bantahan keterlaluan jurulatih itu.

Namun, itu tidak menghalang Vietnam kembali mendahului menerusi pemain gantian, Nguyen Vu Phong pada minit ke-71 dan 86.

Calisto yang duduk di galeri awam, hampir mencetuskan kekecohan apabila beliau melompat ke kawasan yang diduduki media Malaysia dan menjerit selepas Vietnam menjaringkan gol kemenangan.

Jurulatih negara B. Sathianathan menyalahkan Mohd. Helmi atas kekalahan itu dan memuji pemain lain kerana menunjukkan komitmen dan sikap tidak menyerah kalah.

Sementara itu, pertemuan terakhir skuad negara dengan Thailand akan diadakan di sini seperti jadual asal selepas Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menerima bantahan Malaysia.

- Bernam
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51Cv1MFE1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan