ARKIB : 15/12/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad tidak
menolak kemungkinan khidmat ketua jurulatih negara, B. Sathianathan disambung
walaupun secara sementara bagi menghadapi satu perlawanan Kelayakan Piala Asia
2011 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.
Katanya, status pelantikan itu
mungkin menjadi salah satu pilihan yang mampu dibincangkan dalam mesyuarat
jawatan kuasa pengurusan pasukan kebangsaan yang dipengerusikan oleh Presiden
FAM, Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini dengan agenda
utamanya berkaitan nasib Sathianathan.
"Saya tidak dapat mengulas
panjang kerana hanya mesyuarat esok (hari ini) bakal membincangkan dan
memutuskannya tetapi pilihan itu (menyambung khidmat Sathianathan sementara)
mungkin ada," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Secara peribadi menurut
Azzuddin: ''Memang saya menganggap pasukan negara telah mencapai peningkatan
(sejak dibentuk tujuh bulan lalu) tetapi kami pada dasarnya telah menetapkan
Piala Suzuki AFF sebagai tanda aras pencapaian mereka dan jurulatih."
Sebagai rekod, Sathianathan
turut dilantik menerajui skuad negara selepas memenangi Pestabola Merdeka 2007
dan khidmatnya diteruskan bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2010 menentang
Bahrain, Oktober tahun lalu kerana FAM kesuntukan waktu untuk mencari jurulatih
baru termasuk dari luar negara.
Dengan masa suntuk 38 hari
untuk menyediakan sebuah pasukan baru kebangsaan menjelang menentang UAE di
Stadium Petaling Jaya pada 21 Januari ini, pencarian seorang jurulatih baru
juga mungkin sukar diputuskan FAM walaupun kegagalan ke separuh akhir di Phuket
minggu lalu masih menuntut satu perubahan drastik.
Malaysia diundi dengan UAE dan
Uzbekistan dalam persaingan Kumpulan C Piala Asia yang disambung semula
November depan hingga Mac 2010 dengan dua pasukan teratas bakal mara ke
pusingan akhir di Qatar setelah pasukan keempat, India disahkan layak terus
sebagai juara Piala Cabaran oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC).
Ketika ini Uzbekistan dan UAE
juga masih bergelut untuk merebut tiket Piala Dunia Afrika Selatan 2010
walaupun masing-masing sekadar menduduki tangga tercorot Kumpulan A dan B dalam
pusingan kelayakan akhir Asia dengan cuma mengumpul satu mata.
Uzbekistan pernah membelasah Malaysia
5-0 dalam pusingan akhir Piala Asia di Kuala Lumpur, Julai tahun lalu manakala
pertemuan terakhir kita dengan UAE menyaksikan pasukan Asia Barat itu memenangi
perlawanan persahabatan 3-1 di Petaling Jaya, beberapa hari sebelumnya.
Malaysia hanya layak secara
automatik ke Piala Asia tahun lalu selaku tuan rumah bersama Thailand, Vietnam
dan Indonesia manakala kemaraan ke pusingan akhir menerusi merit hanya mampu
dicapai pada 1976 di Iran dan Kuwait 1980.
Rancangan persediaan seperti
kem latihan dan perlawanan persahabatan antarabangsa menjelang menentang UAE
juga bakal mendapat tentangan kebanyakan negeri dan kelab yang membuka tirai
musim baru Liga Super dan Liga Perdana pada 3 dan 9 Januari ini yang terpaksa
melepaskan semula ramai pemain kebangsaan mereka.
Antaranya ialah Kedah,
Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, KL PLUS dan UPB-MyTeam yang memiliki
tonggak negara seperti Helmi Eliza Elias, Khyril Muhymeen Zambri, Asraruddin
Putra Omar, Hardi Jaafar, Amirulhadi Zainal, Safee Sali, Shukor Adan, Aidil
Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Indra Putra Mahayuddin, Daudsu Jamaludin,
Norhafiz Zamani Misbah dan Syed Adney Syed Hussein.
Azzuddin turut mengakui
pihaknya belum menyenaraikan calon pengganti Sathianathan walaupun ada
desas-desus mencanangkan nama bekas jurulatih Thailand dan Indonesia, Peter
Withe dari England selain K. Rajagopal, jurulatih Harimau Muda serta jurulatih
juara tiga gelaran Liga M dua musim berturut-turut, Azraai Khor Abdullah dari
Kedah.
Bertalan Bicskei dari Hungary
merupakan jurulatih asing terakhir bagi skuad negara dari 2004 hingga 2005
manakala Rajagopal juga pernah memangku tugas itu bagi dua perlawanan Kelayakan
Piala Dunia menentang Hong Kong dan Kuwait, empat tahun lalu
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51ELw83Ab
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan