Ahad, 17 Disember 2017

Harimau Muda pengubat luka

ARKIB : 26/01/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Persembahan bergaya dan mutu permainan menarik Harimau Muda ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas pendahulu Liga Super, KL PLUS pada perlawanan pertama, pusingan pertama Piala FA kelmarin ternyata memberi sinar baru kepada sukan bola sepak negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, aksi yang dipamerkan oleh pasukan bawah 19 tahun negara itu sedikit sebanyak telah menjadi penawar kepada badan sukan itu.

"Aksi mereka (Harimau Muda) ketika berhadapan pendahulu Liga Super, KL PLUS sangat baik dan ia membuktikan negara masih mempunyai barisan pemain pelapis yang bagus.

"Bagi saya, pasukan ini memberi sedikit sinar kepada masa depan bola sepak negara dan persembahan seumpama itu mampu menjadi pengubat kepada kemerosotan mutu bola sepak negara ketika ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Katanya, skuad yang dibarisi kebanyakan pemain berusia 17 dan 18 tahun itu telah menunjukkan corak permainan bertenaga dan memiliki semangat juang tinggi.

Menurut Azzuddin, jika skuad remaja kebangsaan bimbingan K. Rajagopal itu dibimbing dengan sempurna dan diberi pendedahan yang lebih, pasukan itu mampu untuk menunjukkan perkembangan yang lebih menarik.

"Mungkin pendedahan luas yang diberikan kepada Harimau Muda pada musim lalu telah berjaya meningkatkan prestasi dan membuangkan perasaan hormat mereka kepada pemain lebih berpengalaman.

"Mereka boleh hormat kepada pemain lebih tua, tetapi jangan sampai ke padang dan membuatkan mereka gentar untuk memberi persembahan terbaik," katanya.

Sehubungan itu katanya, dia tidak melihat mengapa pasukan muda negara itu tidak boleh menebus maruah negara untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Dalam pada itu, jurulatih Harimau Muda, Rajagopal berkata, dia berharap agar semua peminat bola sepak negara boleh bersabar buat seketika bagi melihat perkembangan anak didiknya itu.

Katanya, masa terdekat ini adalah waktu kepada proses pemantapan dan pengukuhan di kalangan pemain.

"Saya berharap agar semua pihak janganlah bagi tekanan kepada pasukan ini ketika ini kerana mereka masih mentah dan tidak mampu menerima banyak tekanan.

"Mungkin selepas tiga atau empat tahun, waktu itu adalah masa terbaik untuk mereka mencipta kecemerlangan dan bersedia menjadi juara.

"Bagi persembahan malam ini (kelmarin), mereka seharusnya diberi credit (pujian) dan saya berharap mereka akan terus mempamerkan persembahan bertenaga seperti ini," katanya.

Dalam pada itu, Rajagopal turut menyeru agar orang ramai dapat meluangkan diri menyaksikan perlawanan Harimau Muda kerana tiada sebarang bayaran tiket dikenakan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51ZNVNmGx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan