Ahad, 17 Disember 2017

Harimau Muda wajar terima pendedahan luar

ARKIB : 27/01/2009
Harimau Muda wajar terima pendedahan luar
 
Pemain Harimau Muda (kanan) Ahmad Aminuddin dikasari pemain KL Plus, Mohd. Lot Abu Hassan pada perlawanan Piala FA 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, minggu lalu.

SEPERTI yang diceritakan oleh seorang rakan, persembahan skuad Harimau Muda pada malam pasukan itu menewaskan KL Plus dalam saingan bola sepak Piala FA begitu mengujakan saya.

Kemenangan 2-0 ke atas pendahulu Liga Super itu jelas memberi satu harapan baru buat barisan pelapis negara itu yang satu hari nanti bakal memikul tanggungjawab lebih besar di luar sana.

Keupayaan Harimau Muda yang dibimbing jurulatih berpengalaman, K. Rajagopal lebih menyakinkan apabila menduduki tangga teratas saingan Liga Perdana musim ini.

Namun, satu peringatan penulis, jangan barisan tunas muda itu terlalu dipuji hingga lupa diri dan pada masa yang sama janganlah kita terlalu asyik menilai (menghentam) setiap persembahan mereka yang masih terlalu muda dan mentah untuk menerima tekanan seperti skuad senior.

Percaturan kita perlu mudah. Beri mereka masa dan peluang untuk menimba pengalaman dan mengasah kemahiran di bawah Rajagopal.

Buat permulaan, biarlah mereka belajar sepak terajang dalam bola sepak, walau dalam kancah Liga Perdana sekali pun. Ini kerana, di situlah dunia bola sepak mereka bermula.

Ketika skuad senior terus mengundang pelbagai persoalan, timbul pula persoalan tentang mutu bola sepak dalam kancah Liga Malaysia.

Pelbagai reaksi yang timbul, namun pada pandangan penulis sekiranya Liga Malaysia yang ada sekarang tidak menarik, penyelesaiannya mudah sahaja... buka sahaja status profesional.

Memang akan ada pro dan kontra apabila kancah Liga M dijadikan status profesional. Semuanya terpulang kepada kita sendiri mahu melihat bagaimana ia mahu diadakan.

Kita tidak perlu takut untuk bergerak ke hadapan kerana percaturan di tangan sendiri. Kalau tersalah langkah sekalipun, sekurang-kurangnya kita telah mencuba sedaya upaya.

Dalam pada masa yang sama, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu ada mekanisme khusus untuk memantau pemilihan dan pengurusan pemain di peringkat FA negeri.

Pendek kata, segala-galanya mesti dipantau dari sekarang.

Ini penting kerana dari situlah kebanyakan pemain dipilih untuk mengisi kekosongan skuad negara.

Jika langkah awal ini dapat diadakan, tidak mustahil akan ada perubahan dalam bola sepak negara sekalipun kita semua tahu bukan mudah untuk mencipta kejayaan dalam sekelip mata.

Pada masa yang sama, seluruh rakyat Malaysia khususnya peminat setia bola sepak negara perlu bersama-sama menyumbang pandangan bagaimana mahu mengubah nasib mutu bola sepak negara dan tidak sekadar mengkritik semata-mata.

Bukan tidak boleh mengkritik tetapi biarlah kena pada tempatnya dan pada masa yang sama menyumbang buah fikiran.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51ZixYQiq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan