ARKIB : 08/10/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia
terselamat dengan gol penalti untuk terus mengintai peluang ke suku akhir
Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun Asia apabila mengikat Yemen 1-1 dalam
perlawanan Kumpulan D di Stadium MHSK, Tashkent, Uzbekistan, semalam.
Satu mata disambar skuad remaja
negara angkara kesilapan pemain Yemen, Ahmed Al Khamri memegang bola selepas
tiupan wisel pengadil yang disangkanya memberikan ofsaid kepada lawan ketika
empat minit masa kecederaan babak kedua.
Penyerang Malaysia, Mohamad
Fandi Othman lantas tidak mensia-siakan pemberian penalti oleh pengadil, Salem
Mujghef dari Jordan untuk merembat masuk menewaskan penjaga gol Yemen yang juga
naib juara 2002, Mohammed Waleed Abdullah Ali.
Yemen bagaimanapun mendahului
menerusi sepakan penalti ketua pasukannya, Al Shamsi Mohammed Hussein Mohammed
pada minit ke-10 selepas rakan sepasukan, Greef Muhsen Zeid dijatuhkan dalam
kotak penalti.
Ahad lalu, anak buah Lim Kim
Chon dibenam juara bertahan, Jepun 4-0 tetapi keputusan seri ini
sekurang-kurangnya memulihkan semangat mereka untuk terus bersaing khususnya
dalam perlawanan terakhir menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE), esok.
Malah, Malaysia, semalam
mendapat beberapa peluang cantik menerusi Gary Steven Robbat, D. Saarvindran
dan Amer Saidin masing-masing pada minit keempat, 50 dan 75 apatah lagi lawan
kehilangan Boqshan Ahmed Ali yang dibuang padang kerana dikenakan kad merah
(68).
''Memang tuah menyebelahi kami
dengan gol itu walaupun ada beberapa peluang yang sepatutnya mampu menghasilkan
gol penyamaan lebih awal kerana pasukan menunjukkan peningkatan dalam babak
kedua.
"Perlawanan ini cukup
dramatik kerana pemain gagal mengamalkan apa yang diarahkan tetapi yang tidak
diarahkan pula menjadi dan mujurlah kami berjaya meraih keputusan ini,"
kata Kin Chon yang mengakui corak agresif Yemen berubah kendur selepas mereka
bermain dengan 10 orang.
Sementara itu, jurulatih Yemen,
Sami Al Nash berkata: "Keputusan ini tidak adil kerana Malaysia tidak
berhak mendapat satu mata daripada perlawanan ini tetapi pengadil membuat
keputusan yang pelik. Wisel itu kedengaran dari tempat penonton dan pengadil
sepatutnya memberikan jatuhan bola kepada kedua-dua pasukan dan bukannya
penalti.
"Namun, perlawanan ini
menarik sekali dan Malaysia sebuah pasukan yang menampilkan persembahan bagus
malah tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan pertamanya (dengan Jepun).''
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50rp3Q6Bg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan