Rabu, 13 Disember 2017

Nasib Sathia lepas Piala AFF

ARKIB : 21/11/2008
PETALING JAYA - Nasib B. Sathianathan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan akan ditentukan berdasarkan pencapaian skuad negara pada kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF dari 5 hingga 28 Disember ini.

Bagaimanapun tiada pencapaian spesifik yang ditetapkan di kejohanan itu untuk dijadikan sebagai ukuran untuk menentukan sama ada Sathia akan terus membimbing skuad kebangsaan.

Sebaliknya Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin berkata, FAM mengharapkan satu keputusan yang baik dapat dicapai pada kejohanan yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand.

''Kita akan membuat penilaian mengenai kedudukan Sathia berdasarkan pencapaian skuad bimbingannya di kejohanan Piala Suzuki AFF.

''Kita tidak menetapkan sebarang tanda aras seperti sama ada beliau akan terus melatih skuad negara jika berjaya membawa pasukan kebangsaan ke peringkat akhir atau muncul juara.

''Keputusan sama ada kontraknya akan dilanjutkan atau sebaliknya akan ditentukan selepas Piala Suzuki AFF.

''Kita telah pun memaklumkan perkara ini kepada beliau (Sathia),'' katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Exco FAM Kelima di Pejabat FAM, Kelana Jaya semalam.

Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan B, Piala Suzuki AFF di Bangkok dengan Thailand, Vietnam dan Laos.

FAM juga katanya kecewa dengan kekalahan 1-4 skuad bimbingan Sathia kepada Myanmar dalam perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Myanmar, baru-baru ini.

Jelas Khairy, FAM telah menerima laporan daripada Sathia mengenai kekalahan tersebut.

''FAM meminta beliau segera memperbaiki kelemahan pasukan berdasarkan persembahan pemain di Myanmar tempoh hari.

''Ini kerana kita mempunyai matlamat yang lebih besar iaitu di kejohanan Piala Suzuki AFF,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy mengumumkan FAM akan menyegerakan pemberian geran tahunan kepada pasukan kelab dan negeri pada musim depan bagi mengelak masalah kewangan di kalangan persatuan.

Menurutnya, peruntukkan geran tahunan sebanyak 50 peratus akan diberikan sebelum saingan Liga Malaysia yang bermula Januari ini manakala bakinya akan diberikan di pertengahan musim.

''Dengan pemberian geran lebih awal ini FAM berharap tiada lagi alasan persatuan mengalami masalah kewangan seperti yang berlaku musim lalu.

''Dalam masa yang sama FAM mengingatkan persatuan supaya tidak membelanjakan peruntukkan geran yang diberi secara berlebihan bagi mengelak persatuan berdepan masalah kewangan yang kritikal.

''Sebelum kita memberikan geran tersebut, mana-mana persatuan yang masih belum menyelesaikan masalah gaji tertunggak dan tidak menjelaskan caruman ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlulah segera mencari jalan penyelesaian.

''Masalah tersebut perlu diselesaikan secara dalaman tanpa perlu dihebahkan kepada media,'' katanya.

Menurut Khairy, FAM menyasarkan untuk menaikkan rangking pasukan negara dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada kedudukan lebih baik berbanding di tangga ke-151 sekarang.

''Kedudukan rangking ini dapat dipertingkatkan menerusi perlawanan-perlawanan yang mendapat pengiktirafan Fifa.

''Selain itu kita juga akan membuat persediaan awal skuad negara untuk Sukan SEA 2009 yang mana persediaan akan bermula pada Januari ini,'' jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz518RPKcLY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan