ARKIB : 22/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan
FERZALFIE FAUZI
hafiz.ahmad@utusan.com.my&ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PEMAIN-pemain UAE meraikan
kejayaan menewaskan Malaysia dengan kemenangan besar di Kuala Lumpur, malam
tadi. - UTUSAN/NAZUDEEN MAHMUD
KUALA LUMPUR - Malaysia membuka
kempen bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 dengan langkah longlai
lagi menghampakan setelah dijadikan mangsa belasahan Emiriyah Arab Bersatu
(UAE) 5-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.
Permulaan hambar mereka yang
belum pulih daripada kegagalan pada Piala Suzuki AFF, bulan lalu turut
memberikan kekalahan sulung kepada jurulatih, B. Sathianathan yang menerajui
skuad ini tanpa kalah di tempat sendiri sejak Oktober 2007.
Dua jaringan ketua pasukan,
Mohamed Omar Mohd. Ahmad pada minit ke-29 dan 44, selain Ismaeil Matar Ibrahim
Khamis (ke-62 dan 76) serta Mahmoud Khamis Saeed Khamis (85) membolehkan skuad
bimbingan Dominique Bathenay itu pulang dengan tiga mata sebelum menyambung
semula kempen, November ini.
Begitupun pada awal minit
pertama, Malaysia menunjukkan keyakinan dan memulakan serangan menerusi sayap
kirinya, Khyril Muhymeen Zambri yang membuat gerakan solo, merembat leret,
namun tersasar sedikit dari tiang kanan gawang UAE.
Pasukan pelawat tidak
ketinggalan menguji tuan rumah pada minit ke-15 menerusi rembatan pemain
tengah, Aljunaibi Abdulsalam Jumaa Anbar yang sempat menggugat Syamsuri tetapi
cubaannya sekadar mengenai palang gol.
Satu rembatan jarak dekat oleh
Zaquan Adha Radzak, empat minit kemudian mencemaskan pula penjaga gol UAE,
Majed Naser Humaid Bakheit tetapi hanya mengenai sisi jaring.
Angkara kecuaian benteng tuan
rumah pada minit ke-29, UAE membolosi gawang apabila gerakan satu dua oleh
penyerang utamanya, Ismail Matar Ibrahim Khamis membolehkan Omar menolak bola
masuk.
Kurang tiga minit sebelum
rehat, Hardi Jaafar yang memperoleh sepakan bebas dari sebelah kanan,
melepaskan rembatan melengkung tetapi terlalu tinggi untuk memasuki gawang UAE,
juara Piala Teluk 2007.
Malangnya, pelawat yang
menambah gol kedua menerusi sepakan penalti Omar setelah pemain tengah negara,
Hardi dipersalahkan oleh pengadil Williams Benjamin Jon kerana mengasari Ismail
Salem Ismail Saeed pada minit ke-44.
Skuad negara kembali
bersemangat pada babak kedua dengan rembatan Safee daripada umpanan Zaquan,
bagaimanapun tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Majed Naser pada minit ke-61.
Seminit selepas itu, UAE terus
mengukuhkan kedudukan 3-0 apabila rembatan voli Ismaeil Matar berjaya
menewaskan Syamsuri buat kali ketiga.
Pada minit ke-76, penjaga gol
simpanan, Syed Adney Syed Hussein yang masuk menggantikan Syamsuri kerana
kecederaan, turut dibolosi dengan rembatan kaki kiri Ismaeil, diikuti jaringan
Mahmoud Khamis (ke-85)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51WUztgPX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan