ARKIB : 01/12/2008
KUCHING - Meskipun keadaan
Thailand yang bergolak ketika ini, kerajaan tetap memberi kebenaran kepada
pasukan bola sepak kebangsaan untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki
yang akan berlangsung di Phuket, Thailand Sabtu depan, lapor MUHAMAD ZAID
ADNAN.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, keadaan huru hara yang berlaku
di Thailand lebih tertumpu di Bangkok dan Chiang Mai.
Menurutnya, keadaan itu
sebaliknya tidak berlaku di Phuket dan pasukan bola sepak kebangsaan boleh
meneruskan penyertaan mereka bertanding pada kejohanan itu.
''Bagaimanapun, sekiranya
keadaan huru hara timbul sebelum atau semasa pertandingan tersebut berlangsung,
kita akan berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai perkara
penarikan diri itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Reuters semalam melaporkan,
gelanggang pertandingan bola sepak Kumpulan B Piala Suzuki AFF ditukarkan dari
Bangkok ke Phuket bagi mengelak krisis politik di ibu negara tersebut.
Malaysia berada dalam Kumpulan
B Piala Suzuki, yang turut dianggotai tuan rumah, Vietnam dan Laos.
Dalam perkembangan lain, Ismail
Sabri memberitahu, Sarawak akan mendapat sebuah kompleks belia dan sukan yang
baru bernilai RM39 juta bagi menggantikan kompleks lama yang sudah berusia 37
tahun.
Menurutnya, kompleks belia itu
adalah yang termahal di Malaysia setakat ini dan akan dibina dalam masa
terdekat.
''Kita sedang menunggu
kelulusan untuk melantik kontraktor projek dan jika dimulakan ia mungkin
mengambil masa dua tahun untuk disiapkan," katanya selepas menghadiri
taklimat mengenai usaha menaiktaraf kompleks belia dan sukan Sarawak di sini.
Ismail Sabri memberitahu,
kompleks yang dibina di atas tanah dengan keluasan 7.7 hektar itu antara lain
akan menawarkan kemudahan seperti pusat kecemerlangan akuatik, asrama, dewan
serbaguna, bangunan pejabat serta surau.
''Sarawak adalah negeri yang
melahirkan jaguh-jaguh dalam bidang renang dan terjun... oleh itu kita akan
melengkapkan kemudahan kompleks dengan kolam terbaik dan lain-lain,"
tambah beliau.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz519aPmg9a
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan