ARKIB : 29/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
skuad Malaysia menggunakan
jersi Adidas ketika layak ke Sukan Olimpik 1980.
BUKAN calang-calang pemain yang
berhak dan layak menyarungkan tubuh mereka dengan jersi negara yang mewakili
tradisi kebanggaan dan lambang maruah serta perjuangan Malaysia di arena sukan
antarabangsa.
Malah seorang pengurus terkenal
pernah berkata kepada sebuah skuad negara yang cukup ringkas tetapi mendalam
maknanya - "Bayangkan daripada berjuta-juta warga Malaysia, hanya anda
yang terpilih menyarung jersi ini."
Bekas Setiausaha Agung
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad juga menyebut:
"Yang terpenting ialah kesedaran mempertahankan maruah negara setiap kali
menyarung jersi kerana ia turut mewakili tanggungjawab kepada 25 juta warga
Malaysia.
Dengan diasaskan warna kuning,
biru, merah dan putih daripada baju hingga stokin, ia seperti pengganti Jalur
Gemilang walaupun ia sepatutnya dilekatkan di dada kiri, sekali gus
menyandarkan tanggungjawab yang besar kepada si pemakainya yang bergelar pemain
kebangsaan.
Gerak-geri si pemakainya
sentiasa mendapat perhatian apatah lagi dalam sukan bola sepak yang memiliki
jutaan peminat setia dan harapan tinggi mereka sekalipun pencapaian skuad
negara belum mampu dibanggakan pada ranking ke-151 dunia.
Skuad negara bakal memasuki
Piala Suzuki AFF dari 5 hingga 28 Disember ini dengan penampilan jersi baru dan
lebih segar - kali kedua selepas mendapat penaja baru, Nike sejak Kejohanan AFF
(nama lamanya) pada Januari tahun lalu.
Sebelum itu hampir dua dekad
lamanya, skuad negara menggunakan kelengkapan Adidas dengan kebanyakannya
mengutamakan warna kuning sebelum dijalinkan warna hitam dan berjalur malah
kadangkala bertukar kepada putih, merah dan biru.
Kepada segelintir pengkritik,
kemunculan jersi baru cuma persis satu perubahan kosmetik dan ia tidak akan
membawa sebarang makna selagi skuad negara asyik kecundang, bermain hambar dan
berjuang tanpa komitmen atau semangat melawan yang setinggi mentari.
Lumrahnya, benda yang baru
turut akan membawa semangat baru untuk menampilkan kebangkitan tetapi sejauh
mana ia dapat ditunaikan hanya dapat dijawab mulanya dalam persaingan Kumpulan
B menentang Laos, Vietnam dan Thailand.
Namun diukur pada pencapaian
skuad negara sejak berjersi berbelang hitam (tuan rumah/utama) setahun lalu
yang cuba menyerap semula semangat dan kejayaan skuad juara pertama Pestabola
Merdeka 1958 ini, ia masih tidak cukup meyakinkan.
Diterajui Norizan Bakar,
Harimau Malaya mengorak langkah dengan jersi itu sebelum terkandas pada separuh
akhir Kejohanan AFF 2007 malah lebih teruk ialah ketika 'diratah' China dan
Uzbekistan masing-masing dengan lima gol dalam Piala Asia, Julai tahun lalu.
Apabila B. Sathianathan
mengambil alih dalam Pestabola Merdeka, sebulan kemudian, prestasi skuad negara
tiba-tiba meningkat namun ia seperti ada kaitannya dengan penukaran kepada
jersi biru seluar putih mereka (pelawat/kedua) sebaik sahaja dikejutkan Myanmar
2-1.
Penampilan biru-putih itu turut
membawa tuah apabila kemarau kejuaraan Pestabola selama 14 tahun diakhiri anak
buah Sathia dengan membalas dendam terhadap lawan 3-1 dalam perlawanan akhir di
stadium Shah Alam, Selangor.
Malangnya tuah jersi baru tidak
berpanjangan pada Kelayakan Piala Dunia 2010 (Oktober) yang merakamkan
kekalahan agregat 4-1 kepada Bahrain sekali gus mengucapkan selamat tinggal
kepada tuan rumahnya, Afrika Selatan, tiga tahun lebih awal sejak pusingan
pertama lagi.
Tiada bezanya dengan Sukan SEA
Korat 2007 pada November - misi sasaran Sathia bersama skuad Bawah 23 Tahunnya
yang menyaksikan mereka gagal ke separuh akhir dan pulang tanpa pingat setelah
dibenam Vietnam 3-1, diikat Singapura 1-1 dan hanya mengalahkan Laos 4-0.
Memasuki 2008, skuad Sathia
mengikat Indonesia (Jun) dan India (Julai) 1-1 dan membenam Pakistan 4-1 dalam
siri persahabatan menjelang ke Pestabola Merdeka dengan deretan empat
kemenangan tanpa bolos sebelum hanya dihampakan skuad belia Vietnam menerusi
penalti 6-5.
Tiba-tiba Piala Cabaran Grand
Royal di Yangon pada pertengahan bulan lalu merakamkan kebimbangan penyokong
Harimau Malaya kerana setelah mampu menghukum balik Vietnam, skuad negara
langsung longlai dibenam Myanmar 4-1 - satu jurang gol yang cukup besar dan
mengejutkan.
Tekanan pada nasib Sathia di
'kerusi panas' itu memuncak serta-merta dan kepercayaan Timbalan Presiden FAM,
Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhakis lalu mencetuskan kata dua buatnya -
"Berjaya di AFF atau selamat tinggal".
Sekalipun penaja masih terikat
dengan kontrak dalam tempoh tertentu, sebarang pencapaian hambar lagi mungkin
mampu memberikan kesan yang kurang memberangsangkan kepada penjualan jersi ini
di kalangan penyokong bola sepak.
Sekali lagi lumrah dan resmi
manusia memainkan peranan di sini dengan mengungkap persoalan yang sinis tetapi
cukup mudah dijawab, "Siapa yang mahu digelar Si Malang (The Loser) kerana
memakai jersi pasukan yang asyik kalah?
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana_Sukan&pg=rs_02.htm#ixzz518ydS5DS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan