ARKIB : 28/01/2009
PENDAPAT 1
KEMBALIKAN kecemerlangan bola
sepak negara walau dengan apa cara sekali pun. Dalam kita merasa duka dengan
kemerosotan pasukan senior kebangsaan, masih ada lagi sedikit perkara yang
mengujakan iaitu kemenangan skuad Harimau Muda ke atas pendahulu Liga Super, KL
Plus.
Berdasarkan komen yang
diberikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta jurulatih
Harimau Muda, saya berpendapat inilah masanya skuad ini (jika bukan kesemuanya)
diserapkan dalam pasukan senior dan diberi pelbagai pendedahan melalui
perlawanan persahabatan antarabangsa atau dihantar menjalani pemilihan dan
latihan bersama kelab-kelab di Eropah atau dekat mana sahaja di dunia ini.
Muda usia bukan bermakna mentah
dari segi kematangan membaca corak permainan. Lihat saja Wayne Rooney, Theo
Walcott yang bersama skuad England pada usia sebegini (16-18 tahun), dan
beberapa pemain dari negara lain yang mewakili kelab dalam usia muda.
Oleh yang demikian sudah tiba
masanya FAM berhenti daripada memilih pemain berdasarkan umur. Iaitu skuad
skuad hanya umur begini, umur sekian pula hanya untuk skuad pelapis atau
remaja. Saya lihat kita memilih pemain macam mengikut tradisi persekolahan iaitu
usia 7 tahun mesti tahun 1, 13 tahun pula mesti tingkatan 1, 16 tahun
(tingkatan 4) dan seterusnya.
Kalau pengalaman diukur
berdasar usia seseorang pemain, bola sepak kita akan tetap berada di takuk
sekarang.
Berilah peluang kepada pemain
dalam usia remaja yang memang kita nampak sangat berpotensi serta tahap
kecergasan yang amat tinggi.
Saya adalah antara orang yang
aktif menjadi jurulatih peringkat rendah (9-12 tahun) dulu dan saya berpendapat
potensi pemain-pemain ini tidak digilap sepenuhnya. Apa yang menyedihkan,
setiap kali diadakan pertandingan peringkat negeri, tiada seorangpun jurulatih
negeri atau negara mahupun wakil menjengah ke lokasi pertandingan.
MOHAMAD ALI KUPON
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51aufvcJm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan