Rabu, 13 Disember 2017

Sathia kecewa

ARKIB : 20/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Kekurangan disiplin barisan pertahanan negara sehingga dibenam 4-1 oleh Myanmar dalam separuh akhir bola sepak Piala Cabaran Grand Royal Ketiga kelmarin, mendorong B. Sathianathan bingkas memanggil dua lagi pemain bagi persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF, bulan depan.

"Sekembalinya kami ke tanah air untuk menyambung latihan (Isnin ini), saya akan panggil Fauzie Nan dan Shafizan Hashim (yang digugurkan daripada skuad Pestabola Merdeka Ke-40, bulan lalu)," kata jurulatih negara itu dari Yangon, Myanmar kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, skuad negara sudah tidak punya banyak masa untuk berehat lagi selepas kejohanan jemputan antarabangsa Myanmar itu memandangkan perlawanan persahabatan menentang Singapura telah diatur di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 November ini.

"Kami juga diberitahu FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bahawa satu lagi persahabatan dengan Hong Kong (Rabu ini), dibatalkan disebabkan pasukan lawan menarik diri," katanya yang menganggap kekalahan kelmarin tetap mempunyai unsur pengajaran buat anak buahnya menjelang perlawanan Piala Suzuki AFF dari 5 hingga 28 Disember ini.

Sathianathan mengakui persefahaman yang longgar di bahagian kiri dan kanan kesebelasan utama memudahkan tugas Myanmar membolosi gol anak buahnya selepas sayap kanan lincah, Amirulhadi Zainal merapatkan jurang kedudukan 2-1 ketika 30 minit terakhir perlawanan di Pusat Latihan Belia Thuwunna itu.

"Saya kecewa kita kalah dengan pasukan yang sama ditewaskan dalam separuh akhir Pestabola tetapi di sebaliknya, ia lebih baik berlaku ketika ini supaya saya cepat memperbaikinya daripada menimpa kita dalam Piala Suzuki AFF (persaingan Kumpulan B di Bangkok dengan Thailand, Vietnam dan Laos)," katanya.

Kesihatan

Menurut Sathianathan, kesihatan pemain negara juga tidak boleh diperjudikan hanya kerana kesemuanya terlalu ghairah memburu Piala Cabaran Grand Royal dan ganjaran juaranya sebanyak RM54,000 sehingga mereka tidak dapat beraksi dalam misi kemuncak di Bangkok akibat kecederaan serius.

"Saya cuba turunkan Indra Putra Mahayuddin hanya dalam 30 minit terakhir babak kedua walaupun buku lalinya tercedera ketika seri 1-1 dengan Ulsan Hyundai Tigers dalam perlawanan Kumpulan B dan dia sempat melakukan satu peluang yang mampu menghasilkan gol," katanya.

"Penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein juga mengadu sakit tangan dan saya tidak mahu mengambil risiko menurunkannya jadi saya letakkan Badrulzaman Halim yang tampak masih sukar untuk merebut slot kedua posisi itu (selain Helmi Eliza Elias yang tidak ke Yangon)," katanya.

Sathianathan menyedari dia kini berdepan dengan kontraknya yang mungkin tidak disambung oleh FAM selepas bulan depan sekiranya skuad negara gagal ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF tetapi mahu mengambilnya secara profesional tanpa sedikit pun berasa tertekan.

Selepas kejohanan dwitahunan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu, skuad negara juga akan menghadapi persaingan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, bulan depan dengan menentang Uzbekistan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Suzuki AFF atau dulunya dipanggil Piala Tiger sebelum berubah kepada Kejohanan AFF pada tahun lalu dengan pencapaian terbaiknya ialah cuma bergelar naib juara 1996 di Singapura selepas dikalahkan Thailand 1-0.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz518Bcec6E

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan