Rabu, 13 Disember 2017

Kita hilang Indra, Daudsu

ARKIB : 18/11/2008

DAUDSU Jamaluddin (kanan) terpaksa berehat dalam perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Pusat Belia Thuwunna, Yangon, hari ini akibat mengumpul dua kad kuning.

KUALA LUMPUR - Dendam terhadap Vietnam sudah dilunaskan minggu lalu tetapi kini skuad negara bakal dituntut pembalasan serupa oleh Myanmar dalam perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Pusat Belia Thuwunna, Yangon, hari ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD

Luka kekalahan kepada Malaysia 4-0 pada separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-40 di Bukit Jalil, bulan lalu masih segar di ingatan Myanmar apatah lagi mereka ketika itu kehilangan penyerang utama, Yan Paing kerana digantung perlawanan selepas menerima kad merah.

Kali ini situasi hampir sama bakal menanti skuad negara yang kehilangan sayap kiri dan penyerang sokongan, Indra Putra Mahayuddin kerana kecederaan malahan terpaksa melupakan bek kanan, Daudsu Jamaludin akibat mengumpul dua kad kuning.

Yan Paing menjaringkan gol selain Aung Kyaw Moe untuk membantu tuan rumah mara ke separuh akhir dengan menewaskan Indonesia 2-1 sekali gus menjuarai Kumpulan A setelah mereka hampir tersingkir akibat diikat 0-0 oleh Bangladesh dalam perlawanan pertama.

Kata Sathianathan: "Indra jadi pemain kedua direhatkan kerana kecederaan (sejak seri 1-1 dengan Hyundai Ulsan Tigers, Jumaat lalu) selepas Irwan Fadzli Idrus (menentang Vietnam). Nasib Daudsu pula diputuskan dalam mesyuarat pengurus pasukan separuh akhir dan peraturan kejohanan ini, semalam.

"Saya cuba membantah tetapi tuan rumah yang menetapkan peraturannya dan mahu meneruskan hukuman penggantungan akibat dua kad kuning dari peringkat kumpulan sampai perlawanan akhir. Jadi kami terpaksa bermain tanpanya," katanya kepada Utusan Malaysia di Yangon, semalam.

Malaysia mengulangi pertemuan dengan Myanmar kerana menduduki tempat kedua Kumpulan B setelah Ulsan Hyundai Tigers menumpaskan skuad Bawah 22 Tahun Vietnam 4-1, kelmarin untuk turut ke separuh akhir menentang Indonesia, esok.

Terdahulu skuad negara membalas dendam terhadap Vietnam yang menghampakan mereka menerusi penentuan penalti 6-5 selepas terikat 0-0 pada perlawanan akhir Pestabola, masing-masing dengan jaringan Indra, Amirulhadi Zainal dan Hardi Jaafar.

Sathianathan yang menyediakan skuad negara menghadapi misi kemuncak Piala Suzuki AFF, bulan depan, bagaimanapun tidak bimbangkan kemungkinan barisan benteng pincang tanpa Daudsu kerana Kaironnisam Sahabuddin Hussain dan S. Subramaniam mampu mengambil alihnya.

"Kaironnisam ialah seorang pemain pertahanan yang serba boleh walaupun dia biasanya mahir di bek tengah atau kadangkala sebagai pemain tengah seperti yang saya letakkannya ketika ke Slovakia (September lalu) dan menentang Sierra Leone (Pestabola)," katanya.

Kali terakhir Myanmar menewaskan Malaysia ialah pada perlawanan peringkat kumpulan Pestabola tahun lalu, 2-1 di Stadium Petaling Jaya selepas tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 orang gara-gara penyerang utama, Safee Sali dilayangkan kad merah pada babak pertama.

Barisan kemungkinan Malaysia

Syed Adney Syed Hussein, S. Subramaniam, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Kaironnisam Sahabuddin Hussain, Shukor Adan, Khyril Muhymeen Zambri, Hardi Jaafar, Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal, Safee Sali.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5181MwEBZ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan