ARKIB : 30/11/2008
MOHD. Safee Sali (tengah) cuba
melepasi dua pertahanan Singapura pada perlawanan persahabatan di padang MBPJ,
Petaling Jaya, semalam yang berkesudahan seri 2-2.
- Gambar IZHAM JAAFAR
PETALING JAYA - Malaysia
mencetuskan harapan samar untuk mengharungi persaingan Kumpulan B bola sepak
Piala Suzuki AFF, Jumaat ini apabila nyaris kecundang sebelum hanya mampu
mengikat Singapura 2-2 dalam perlawanan persahabatan, semalam, lapor ABDUL
HAFIZ AHMAD.
Anak buah B. Sathianathan
ketinggalan dua kali menerusi jaringan penyerang Singapura, Aleksandar Duric
pada minit ke-10 dan 45 angkara kesilapan dan kelalaian benteng yang dibarisi
Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Asraruddin Putra Omar dan Daudsu
Jamaludin.
Mujur kesilapan penjaga gol
Lionel Lewis dalam menangkap rembatan Amirulhadi Zainal pada minit ke-27 dan
jaringan dari luar kotak penalti oleh Hardi Jaafar pada minit ke-78 sempat
menafikan kemenangan buat juara bertahan AFF dalam perlawanan di Stadium
Petaling Jaya itu.
Babak pertama merakamkan corak
hambar skuad negara sehingga sepakan lemah Norhafiz mudah ditampan Agu Casmir
yang melarikan bola ke kanan sebelum mengumpan kepada Duric yang merembat menewaskan
penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Menerusi gerakan Indra Putra
Mahayuddin, Amirulhadi bagaimanapun melegakan kem negara dengan gol penyamaan
angkara tangkapan lemah Lionel yang melantun melepasi garisan gol tetapi Helmi
pula tertewas lagi dengan sepakan kaki kiri Duric, seminit sebelum rehat.
Enggan mengalah di depan
kira-kira 2,000 penonton, Hardi yang baru pulih daripada kecederaan urat
pelipat lutut, melepaskan rembatan kencang kaki kiri dari luar kotak penalti
untuk menghampakan pelawat dari seberang Tambak Johor bimbingan Radojko
Avramovic itu.
Kata Sathianathan: "Inilah
aksi kurang konsisten skuad negara. Sekejap naik sekejap turun. Kami melepaskan
gol mudah kerana kesilapan mudah dan mempamerkan perwatakan yang tidak
sepatutnya dalam babak pertama selepas bermula dengan baik.
"Hanya dalam babak kedua,
persembahan kami baru bertambah baik dari segi umpanan, persefahaman dan
mencipta peluang tetapi gagal menyudahkannya. Inilah masalah pemain apabila di
depan gol. Namun bukan mudah menentang juara bertahan," katanya.
Di Bangkok, Reuters melaporkan
Thailand akan memindahkan pertandingan bola sepak Kumpulan B Piala Suzuki AFF,
dari Bangkok ke Phuket bagi mengelak krisis politik di ibu negaranya.
"Terlalu banyak kekacauan
di Bangkok, jadi kami mengambil keputusan menukar gelanggang," kata
pemimpin bola sepak Thailand, Worawi Makudi, semalam. Semua pihak bersetuju
bahawa inilah penyelesaian terbaik bagi masalah itu
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz519XAoIUh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan