Isnin, 25 Disember 2017

Adib mahu selesaikan tugasan di China

ADIB ZAINUDDIN (tengah) hanya mahu memikirkan tentang masa depannya selepas tamat Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.
Rozaidi Zulkifli

24 Disember 2017 11:01 PM
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Adib Zainuddin hanya akan memulakan rundingan mengenai masa depannya selepas menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) yang berlangsung di China, bulan depan.

Tegas kapten skuad B-23 negara itu, buat masa ini dia hanya mahu memberi sepenuh komitmen kepada latihan pusat fasa kedua yang sedang berlangsung di Mokpo, Korea Selatan dan enggan memikirkan perkara lain.


“Saya sudah jelaskan kepada semua pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya bahawa buat masa sekarang saya tidak mahu berbincang tentang perkara ini kerana fokus saya hanya kepada Kejohanan AFC B-23.

“Benar ada rundingan dengan beberapa pasukan dari Liga Super tetapi FELCRA FC juga sudah menyatakan hasrat untuk menyambung kontrak saya bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim hadapan. Selepas semua selesai, saya akan memuktamadkan keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Difahamkan, tiga pasukan sedang mengintai tonggak pertahanan skuad muda negara yang memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu iaitu dua daripadanya adalah dari Lembah Klang, manakala satu lagi di selatan tanah air.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee sudah menjalani latihan lebih seminggu di Korea Selatan dan akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan terakhir di negara itu, bertemu Jeonju Citizens pada 28 Disember ini. Mereka akan beraksi dalam perlawanan persahabatan terakhir di Nanjing, China, 5 Januari nanti.

Mengulas lanjut mengenai persediaan ke kejohanan yang dibarisi gergasi bola sepak Asia itu, Adib mengakui persaingan bagi merebut tempat ke China menjadikan mereka bertambah baik.

“Peluang untuk dipilih oleh jurulatih adalah sama rata dan saya lihat semua rakan sepasukan memberikan komitmen tinggi ketika latihan dan aksi terbaik sewaktu perlawanan persahabatan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/adib-mahu-selesaikan-tugasan-di-china-1.578874#ixzz52DyEOLAM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan