Ahad, 17 Disember 2017

Isu KAFA: FAM buat 'pusingan U'

ARKIB : 22/01/2009
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat pusingan U berhubung kes kemenangan 3-0 dan tiga mata percuma buat KL PLUS ke atas Kelantan pada perlawanan Liga Super musim 2009 apabila bersedia mengkaji semula rayuan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), semalam.

Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang dipengerusikannya turut memerlukan sedikit masa untuk memperhalusi sejauh mana asas rayuan KAFA berhubung keputusan perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada 3 Januari itu.

"Mesyuarat jawatankuasa tadi (di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam) bersetuju mengarahkan seorang pegawai mengkaji dan memperhalusi laporan rayuan yang diterima daripada KAFA. Saya tidak pasti bilakah kami akan mesyuarat lagi untuk memutuskannya," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kenyataan beliau jelas satu kejutan kerana Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini menegaskan bahawa KAFA tidak berhak merayu kerana keputusan pemberian kemenangan dan mata itu sudah muktamad dan berkaitan dengan teknikal, malah tidak boleh ditangani seperti kes tatatertib pemain atau pegawai pasukan.

Kelantan dipersalahkan kerana gagal menjalankan persediaan bagi perlawanan itu di gelanggang berkenaan walaupun mereka memberikan alasan keadaan hujan lebat sehingga mendorong sekumpulan penyokong skuad Wira Merah itu mengadakan demonstrasi bantahan di depan Wisma FAM, 9 Januari lalu.

Azzuddin bagaimanapun pernah menyatakan selepas satu sesi ceramah rasuah bola sepak di Shah Alam, 14 Januari lalu bahawa keputusan tersebut mampu diubah sekiranya Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menggunakan kuasa budi bicaranya.

Sementara itu, Che Mat berkata, beberapa lagi perlawanan Liga Super musim ini turut akan dipinda memandangkan pembabitan Kedah dan Johor FC sebagai wakil Malaysia dalam Piala AFC 2009 yang akan bermain secara liga timbal balik di peringkat kumpulan mulai Mac ini.

"Kami tidak boleh mengelakkannya kerana undian Piala AFC itu hanya dibuat setelah musim liga kita bermula awal tahun ini malah sebelum ini berlaku pertukaran pasukan apabila Negeri Sembilan dan Selangor menolak penyertaannya," ujarnya.

Menurut Che Mat, jawatankuasa turut mahu menyarankan FAM supaya melangsungkan kejohanan jemputan tahunan antarabangsanya, Pestabola Merdeka Ke-41 pada awal Ogos.

"Tidak seperti Pestabola pada Oktober tahun lalu, kali ini ia wajar diadakan sejurus selesai Liga Super dan Perdana pada Julai apatah lagi umat Islam akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri dari 20 Ogos hingga 20 September.

"Kami juga mungkin memulakan Piala Malaysia selepas itu pada hari keenam Syawal manakala undiannya dijadualkan pada 15 Ogos," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51WXWarWa

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan