ARKIB : 17/01/2009
KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad
negara, B. Sathianathan memiliki ramai pemain senior yang boleh diharapkan
sebagai ketua pasukan baru ekoran masalah kecederaan lutut yang melanda
penyandangnya, Shukor Adan menjelang menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rabu
ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Norhafiz Zamani Misbah,
Hairuddin Omar, Nizaruddin Yusof, Kaironnisam Sahabudin Hussain dan Fadzli
Saari merupakan antara calon kalangan 25 pelatih skuad negara yang berlegar di
fikirannya bagi menghadapi perlawanan sulung bola sepak Kumpulan C Kelayakan
Piala Asia 2011 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu Rabu ini.
"Saya tidak bimbang tanpa
Shukor yang sukar pulih sebelum perlawanan itu. Saya cukup mengenali ramai
pemain senior yang berkaliber untuk menggantikannya sebagai ketua pasukan sejak
menjadi penolong jurulatih negara lagi.
Norhafiz pernah mengetuai skuad
negara menentang New Zealand dalam perlawanan persahabatan, tiga tahun lalu
sebelum diambil alih oleh Kaironnisam ketika Kejohanan AFF 2007 yang turut
sempat menyarung semula lilitan lengan keramat ketika menentang Afghanistan
dalam Pestabola Merdeka, Oktober lalu.
Shukor yang tercedera ketika
mewakili Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super musim 2009, menjadi orang
kepercayaan Sathianathan sejak Pestabola Merdeka 2007 sehingga Piala Suzuki AFF
di Phuket, bulan lalu yang menyaksikan Malaysia gagal ke separuh akhir setelah
dikalahkan Vietnam 3-2 dan Thailand 3-0.
Semalam satu ujian lagi
kecergasan buat skuad negara dijalankan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit
Jalil bagi memastikan mereka layak bermain dalam perlawanan antarabangsa,
khususnya menentang UAE yang berada di ranking ke-114 dunia dan dibimbing oleh
jurulatih Perancis, Dominique Bathenay.
Sathianathan bagaimanapun agak
bimbang dengan persediaan lima hari anak buahnya yang turut terpaksa diteruskan
tanpa sebarang perlawanan persahabatan bagi menguji sekurang-kurangnya
kesebelasan terbaik negara (ke-158 dunia) sebelum berdepan UAE.
"Mungkin salah satu
pasukan Liga Super boleh dijadikan lawan persahabatan tetapi saya rasa kurang
sesuai bagi skuad negara ketika ini," katanya, membandingkan UAE yang baru
beraksi dalam Piala Teluk di Oman dengan menentang Arab Saudi, Qatar dan Yemen
malah akan menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2010, bulan depan.
Malaysia tewas 3-1 kepada UAE
dalam pertemuan terakhir mereka ketika satu persahabatan di Stadium Petaling
Jaya menjelang Piala Asia 2007 dengan gol tunggalnya dijaringkan oleh Akmal
Rizal Rakhli.
Sementara itu, skuad negara
turut berdepan dengan satu lagi masalah kekurangan pilihan penjaga gol apabila
Syed Adney Syed Hussein yang sempat beraksi satu perlawanan menentang Thailand
di Phuket, dikecualikan daripada ujian kecergasan dan sesi latihan kerana
kecederaan atas tumitnya.
Kini Sathianathan yang mengetepikan
penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias ekoran prestasinya yang menurun, cuma
memiliki Farizal Marlias dan Syamsuri Mustafa.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51U5ZVrNW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan