ARKIB : 25/02/2009
KUALA LUMPUR - Ketika arena
bola sepak masih tertunggu- tunggu gerangan ketua jurulatih baru negara selepas
B. Sathianathan, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad pula mengakui masih berkhidmat
sebagai jurulatih dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Penolong jurulatih negara ini
berkata, dia masih tidak diberitahu apa-apa mengenainya oleh pihak pengurusan
sekalipun terbabit membantu Sathianathan pada Piala Suzuki AFF di Phuket dan
Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) antara Disember
hingga 21 Januari lalu.
"Saya masih ada kontrak
dengan FAM hingga Disember tahun ini. Setakat ini saya menganggap saya masih
jurulatih di bawah FAM kerana tiada sebarang makluman terbaru daripada pihak
atasan," kata bekas jurulatih Negeri Sembilan ini, semalam.
Zaki setia membantu
Sathianathan sejak melatih skuad Bawah 21 Tahun negara dalam Kelayakan Olimpik
2007 sebelum gandingan ini mencipta kejutan dengan menjuarai Pestabola Merdeka
tahun itu walaupun masih kempunan sebarang pingat Sukan SEA Korat.
Namun, selepas kegagalan di
Phuket, jurulatih penjaga gol, Mazlan Wahid dan penolong lain, Ismail Ibrahim
ditukarkan ke skuad Bawah 16 Tahun negara sementara Pengarah Penjaga Gol FAM,
Lim Chuan Chin kembali menyertai barisan kejurulatihan skuad negara mulai
Kelayakan Piala Asia.
''Saya cuma tidak jelas ke
pasukan mana saya selepas ini. Adakah ia sama seperti Ismail atau Mazlan, saya
pun tidak pasti. Cuma biasanya, mana-mana ketua jurulatih negara yang baru
dilantik, mungkin mahu memilih penolongnya sendiri."
FAM Khamis lalu menyenaraikan
Azraai Khor Abdullah (Kedah), K. Devan (Selangor), Dollah Salleh (Shahzan Muda)
dan Wan Jamak Wan Hassan (Negeri Sembilan) sebagai calon ketua jurulatih
negara.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz522YGcEnt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan