ARKIB : 28/01/2009
KUALA LUMPUR - Penglibatan
lebih serius Kementerian Pelajaran dalam pembangunan liga bawah 18 tahun
dilihat langkah paling sesuai untuk membangunkan bola sepak di peringkat akar
umbi, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin
Ahmad .
''Disebabkan FAM kurang
kemampuan daripada segi kewangan, liga bola sepak peringkat sekolah dilihat
langkah yang paling mudah untuk membangunkan potensi di peringkat umur
tersebut.
"Kita sepatutnya perlu ada
sistem liga yang kompetitif untuk peringkat umur bawah 18, 15 dan 12 tahun tapi
banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk waktu belajar pemain dan jadual
semester," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Azzuddin, masalah tidak
konsisten dan kurang kematangan dalam corak permainan yang dapat dilihat dalam
Liga Malaysia sekarang adalah disebabkan kurang pendedahan kepada sistem liga
yang kompetitif semasa peringkat umur bawah 18 tahun.
Untuk pembinaan karakter,
seorang pemain bola sepak yang bagus, pemain sepatutnya bermain dalam
sekurang-kurangnya 40 perlawanan kompetitif setiap tahun, tetapi perlawanan di
peringkat sekolah setakat sekarang lebih mengikut format pertandingan untuk
merebut piala dan sebagainya dengan jadual perlawanan yang pendek.
Tambah Azzuddin lagi, bagus
atau tidak seseorang pemain itu juga bukan ditentukan oleh bakat yang ada
ketika umur muda tetapi kematangan yang diperoleh sebelum mencapai umur 18 atau
21 tahun.
Jelas beliau, peranan akademi
bola sepak di peringkat negeri di bawah kendalian Kementerian Pelajaran juga
dilihat kurang berkesan dengan produk yang dilahirkan kurang menjadi dan pemain
hanya bagus daripada segi teknikal.
"Saya tak ada kuasa
tentang urusan mereka, tapi secara jujur saya rasa mereka perlu kaji semula
program pembangunan bola sepak.
''Sebagai badan induk bola
sepak kebangsaan, FAM sedia membantu sekiranya Kementerian Pelajaran merancang
untuk menyusun semula program pembangunan bola sepak mereka.
"Kita ambil serius
pembangunan peringkat akar umbi, jadi kita sedang cuba cari peluang untuk
berbincang dengan mereka (Kementerian Pelajaran) berkaitan perkara itu,"
ujarnya. - Bernama
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51b76wIDi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan