Rabu, 13 Disember 2017

'Bukan makan angin'

ARKIB : 05/12/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
 
Skuad bola sepak negara menaiki pesawat Hercules C-130 untuk berlepas ke Phuket, Thailand bagi menghadapi persaingan bola sepak Piala Suzuki AFF di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam.

SHAH ALAM - "Pastikan kemenangan, jaga tingkah laku dan jangan buat perkara-perkara yang mencemarkan nama baik negara. Paling penting ingatlah kejohanan di Phuket ini bukan untuk makan angin,'' demikian titah amaran Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah kepada para pemain skuad kebangsaan yang menyertai Kejohanan Piala Suzuki AFF di Phuket, semalam.

Baginda bertitah, para pemain perlu sedar mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab besar di Phuket demi menjulang maruah bola sepak negara di rantau ini.

Titah baginda lagi, para pemain telah menjalani fasa persediaan yang cukup lengkap dan kini sudah tiba masanya untuk mereka melakar kejayaan yang sudah lama diidam-idamkan.

''Saya amat berpuas hati dengan persediaan skuad kebangsaan untuk kejohanan kali ini yang kelihatan amat cergas dari segi fizikal dan mental. Cuma ingin saya ingatkan kepada pemain dan para pegawai bahawa saya tidak mahu mendengar sebarang perkara atau tingkah laku yang tidak sepatutnya berlaku sewaktu berada di Phuket.

''Saya akui sebagai manusia biasa memang kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan cuma jangan fikirkan perkara lain selain daripada memberikan persembahan penuh bersemangat bagi memastikan kejayaan. Beraksi dengan mentaliti yang betul dan bermain dengan penuh kebanggaan dan kemegahan kerana daripada jutaan rakyat Malaysia, hanya 22 orang yang terpilih menyarung jersi kebangsaan.

''Harapan saya, tunjukkan permainan yang baik dan tiada alasan untuk kalah kerana segala-galanya telah diberikan,'' titah baginda kepada para pemain skuad bola sepak negara yang berlepas ke Phuket dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam.

Skuad 22 pemain dan 11 pegawai berlepas ke Phuket menggunakan pesawat Hercules C-130 atau Charlie milik TUDM ekoran masalah mendapatkan tiket bagi penerbangan komersial gara-gara pertukaran saat akhir venue kejohanan dari Bangkok ke Phuket.

Hadir sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Dalam pada itu baginda turut melahirkan rasa yakin skuad kebangsaan mampu pergi jauh di kejohanan kali ini berdasarkan pencapaian semasa pasukan yang dikendalikan oleh B. Sathianathan itu.

''Apa yang menarik, kombinasi pemain muda dan senior dalam skuad Sathia merupakan satu gandingan unik. Saya yakin pasukan ini mampu menggegar pada kejohanan kali ini jika para pemain beraksi dengan penuh semangat.

''Kepada pemain senior, inilah masanya untuk mereka menunjukkan kebolehan. Kepada pemain muda pula, belajarlah dari pengalaman yang dimiliki oleh pemain-pemain senior. Apa yang penting pastikanlah kemenangan buat pasukan kebangsaan,'' titah baginda.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B di Piala Suzuki AFF yang turut dianggotai Thailand, Vietnam dan Laos.

Skuad negara akan memulakan saingan di kejohanan Piala Suzuki AFF esok menentang Laos.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51CXo5c2l

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan