Rabu, 6 Disember 2017

Harap pemain cergas

ARKIB : 05/10/2008
 
PEMAIN skuad kebangsaan kini giat berlatih di Wisma FAM menjelang Kejohanan Pestabola Merdeka 15 Oktober ini.

PETALING JAYA – Jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan mengharapkan lima pemain dari pasukan Kedah dan Perak yang kembali berlatih bersama pasukan kebangsaan segera menemui rentak sebelum perlawanan persahabatan menentang Pakistan esok.

Menurutnya, selepas beraksi membantu pasukan masing-masing dalam Kejohanan Piala AFC, Helmi Eliza Elias, Shafizan Hashim, Khyril Muhymeen Zambri (Kedah) dan Hardi Jaafar, S. Subramaniam (Perak) terus diberi cuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

‘‘Saya berasa khuatir sedikit tentang perkembangan mereka selepas kejohanan itu (Piala AFC) tetapi saya mengharapkan dalam latihan serta dua perlawanan persahabatan menentang Pakistan (esok) dan Kemboja (Jumaat) mereka kembali berada pada tahap terbaik,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di Wisma FAM semalam.

Jelasnya, walaupun mereka ada melakukan latihan secara individu tetapi perkembangannya tidak sama dengan latihan yang dijalankan dalam skuad kebangsaan.

‘‘Bukan mudah untuk menjalani latihan secara individu kerana ia tidak mempunyai fokus yang tetap.

‘‘Dalam tempoh 12 hari ini sahajalah mereka perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh dan membentuk gandingan mantap bersama pelatih lain menjelang Kejohanan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung dari 15 hingga 20 Oktober ini,’’ katanya.

Ujarnya, bukan sahaja lima pemain tersebut tetapi pemain lain yang baru pulang dari Slovakia dan cuti Hari Raya Aidilfitri perlu mempunyai mentaliti untuk menang bermula dari perlawanan esok hingga ke Kejohanan Piala Suzuki AFF di Thailand Disember ini.

‘‘Selepas mempamerkan aksi yang memberangsangkan di Slovakia saya berharap semua segera tanamkan semangat untuk menang dalam perlawanan seterusnya.

‘‘Matlamat kami yang terdekat ini ialah mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka, sebelum turun beraksi dengan penuh yakin dalam Piala Suzuki AFF,’’ kata Sathia.

Sathianathan juga turut menegaskan pemain yang akan dipilih untuk Pestabola Merdeka nanti adalah pemain yang menunjukkan kesungguhan dalam latihan.

‘‘Selain menumpukan latihan secara berpasukan saya juga akan menekankan aspek latihan secara individu dan mereka yang dipilih hanya berasaskan kepada tahap terbaik di dalam latihan.

Sementara itu Sathia mengesahkan pemain yang berpengkalan di Perancis Titus James Palani akan beraksi bersama pasukan kebangsaan dalam Piala Suzuki AFF Disember nanti



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50Wy4bvc3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan