Sabtu, 16 Disember 2017

Chuan Chin kembali ke tempat asal

ARKIB : 15/01/2009
SHAH ALAM - Prestasi menurun penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias sejak Piala Suzuki AFF, bulan lalu hingga Liga Super kebelakangan ini, bukan sahaja menyisihkannya daripada persediaan Kelayakan Piala Asia 2011 bahkan turut membabitkan dua anggota barisan kejurulatihan skuad negara, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Jurulatih penjaga gol, Mazlan Wahid kini ditukarkan ke skuad Bawah 16 negara dengan tempatnya itu diserahkan semula kepada Pengarah Penjaga Gol Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lim Chuan Chin menjelang aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Kuala Lumpur, Selasa ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pertukaran itu dibuat atas kehendak ketua jurulatih negara, B. Sathianathan yang mahukan seorang jurulatih penjaga gol baru yang lebih berpengalaman dan berkemahiran di samping penolong sedia ada, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad.

"Mazlan dan seorang lagi penolong jurulatih negara, Ismail Ibrahim tidak digugurkan tetapi cuma ditukar melatih skuad Bawah 16 negara," katanya selepas sesi taklimat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kepada pemain pasukan dan kelab Liga Malaysia negeri itu, semalam.

Sebagai rekod, Chuan Chin merupakan antara yang diarah melepaskan jawatan di samping ketua jurulatih dan penolongnya, Norizan Bakar dan Nasir Yusof sejurus selepas kekalahan besar Malaysia kepada China 5-1 dan Uzbekistan 5-0 pada pusingan akhir Kumpulan C Piala Asia 2007 di Kuala Lumpur.

Sementara itu kata Azzuddin, Kelantan mungkin masih mampu mengintai sisa peluangnya untuk melihat kekalahan 3-0 dan tiga mata percumanya kepada KL PLUS dipertimbangkan semula apabila Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah diberikan taklimat lengkap mengenai perjalanan operasi badan induk itu oleh sekretariat hari ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51TZF6fKT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan